
KOTA KINABALU – Sambutan Hari Sabah sebagai lambang kemerdekaan negeri yang mencapai pemerintahan sendiri daripada British sebelum menyertai Malaysia pada tahun 1963.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey Kitingan berkata, tarikh 8 Julai 1963 adalah detik bersejarah apabila Sabah diberikan kuasa mentadbir negeri sendiri, selaras dengan Resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 1514 yang menuntut hak penentuan nasib sendiri.
“Pada 8 Julai 1963, pemimpin-pemimpin kita dengan sebulat suara telah menuntut agar Sabah dimerdekakan.
“Pada 31 Julai tahun yang sama bendera ‘Union Jack’ diturunkan dan bendera baharu Sabah dinaikkan sebagai tanda negeri ini sudah merdeka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Forum Perdana Hari Sabah 2025, ‘Untukmu Sabah Tanah Airku’, di Dewan Serbaguna Wisma Pertanian, pada Rabu.
Jelasnya, inilah sebabnya Hari Sabah sangat penting kerana ia melambangkan status Sabah sebagai sebuah negara sebelum menyertai dalam Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963.
“Terdapat perbezaan nyata antara Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan proklamasi pembentukan Malaysia yang menimbulkan kekeliruan mengenai kedudukan Sabah.
“Dalam artikel 1, MA63 yang ditandatangani pada 9 Julai 1963, Sabah masih disebut sebagai koloni yang disekutukan dengan negeri-negeri Tanah Melayu.
“Namun apabila Malaysia diisytiharkan pada 16 September kita dipersekutukan bersama Tanah Melayu.
“Perbezaan ini perlu difahami rakyat kerana ia menyentuh kedudukan asal Sabah dalam Malaysia,” ujarnya.
Tambah Jeffrey, forum ini membawa maksud mendalam bahawa cinta kepada Sabah mesti dibuktikan melalui usaha nyata dalam pembangunan negeri, kesejahteraan rakyat dan kelestarian generasi akan datang.
“Forum ini wajar dijadikan acara tahunan bagi memperkukuh ilmu sejarah serta semangat patriotisme, khususnya dalam kalangan generasi muda.
“Dengan semangat inilah kita mampu bergerak seiring membangunkan Sabah ke arah masa depan yang lebih baik dan lebih sejahtera,” katanya.




