
SEPANG – Kerajaan MADANI akan mengubal undang-undang baharu bagi memastikan kelancaran pelaksanaan kawalan sempadan secara bersama bagi projek Sistem Transit Rapid (RTS Link) Johor–Singapura.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, keperluan ia dilaksana berikutan terdapat 37 pelbagai akta dalam negara membabitkan sempadan yang perlu diubah dengan pengoperasian kawalan sempadan secara bersama antara kedua-dua negara.
Beliau menegaskan, pihaknya perlu membentangkan satu Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan, selewat-lewat Februari depan susulan kesuntukan masa sebelum pengoperasian RTS itu dimulakan pada Januari 2027.
“Kalau sampai 37 akta, dalam satu akta ada seksyen (peruntukan undang-undang) yang mesti kita patuhi bagi membolehkan satu sahaja keputusan bersama boleh berjalan iaitu co-located.
“Jadi, pilihan yang kita ada ialah buat satu RUU baharu dengan mengambil kira semua keperluan seksyen dalam akta sedia ada, 37 (akta) jadi item terperinci. Itu saya akan umumkan bila tiba masanya.
“Buat masa ini, memadai saya nak sebut pencapaian penting dari sudut sistem undang-undang, kita kena adakan satu undang-undang baharu bagi membolehkan apabila operasi RTS Woodland-Bukit Chagar bermula, pergerakan orang ramai dan barangan mengikut undang-undang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pelancaran Benteng Persada: Di Sempadan Kita Bersatu, Di Sempadan Kita Bermaruah di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pada Selasa.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata, wujud keperluan undang-undang itu dilaksana juga berikutan pelaksanaan kawalan sempadan secara bersama di lokasi akan menyaksikan penempatan pegawai imigresen Malaysia dalam sempadan Singapura dan sebaliknya.
“Mengambil kira Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) yang beroperasi di kedua-dua stesen, masing-masing di Bukit Chagar di Johor Bahru dan Woodlands North di Singapura, KDN kini dalam usaha memperincikan keperluan pengoperasian.
“Kami sudah bangunkan senarai semak menyeluruh, termasuklah kita bangunkan SOP (prosedur operasi standard), perkukuh perjawatan, perolehan autogate, pengimbas dan lain-lain,” katanya.
Terdahulu, Projek RTS Link dijadual siap sepenuhnya Disember 2026 dan mula beroperasi awal 2027, dengan perjalanan antara Bukit Chagar dan Woodlands North hanya mengambil masa lima minit.
Pembinaan perkhidmatan awam itu akan memiliki laluan rel ulang alik sepanjang empat kilometer dengan dua stesen utama, masing-masing di Bukit Chagar dan Woodlands North.
MRT Corp bertanggungjawab membangunkan projek di bahagian Malaysia sepanjang 2.7 kilometer, dengan kerjasama Prasarana Malaysia Bhd dan SMRT Corp Ltd dari Singapura.
Laluan terbabit dijangka menjadi jambatan darat ketiga ke Singapura dan berupaya mengurangkan kesesakan di Tambak Johor yang kini mencapai kapasiti maksimum 10,000 penumpang sejam bagi setiap hala.






