
KUALA LUMPUR – Malaysia memiliki kemampuan dalam menangani sebarang ancaman mahupun ugutan oleh mana-mana pihak susulan pendirian negara ini yang lantang memperjuangkan nasib umat Islam di Palestin
Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin berkata, pendirian Malaysia terhadap Palestin bukan hanya disebabkan faktor agama, namun berlandaskan prinsip kemanusiaan dan perkara itu konsisten sejak sekian lama.
Katanya, Malaysia mempunyai sokongan kukuh di pelbagai platform antarabangsa termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) dan ASEAN, yang memperkukuh suara negara dalam membela rakyat Palestin.
“Soal kemungkinan adanya ancaman atau ugutan terhadap kita apabila terlalu lantang membawakan naratif dan memperjuangkan rakyat Palestin, saya yakin perkara itu boleh ditangani kerana pendirian kita kukuh serta berasas.
“Pendirian kita terhadap isu Palestin bukan sesuatu yang baharu, kerana kita konsisten memperjuangkan nasib rakyatnya. Ia bukan hanya soal agama atau negara Islam semata-mata, sebaliknya isu kemanusiaan,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, pada Selasa.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen (GPS) Puncak Borneo, Datuk Willie Mongin berkenaan sama ada pendirian pro-Palestin kerajaan boleh mengakibatkan Malaysia dipulaukan oleh negara lain dari aspek ekonomi.

Sementara itu, Mohamad berkata, konflik di Palestin setakat ini telah meragut lebih 60,000 nyawa rakyat Palestin dan mencederakan hampir 150,000 yang lain.
Katanya, tindakan rejim Israel juga dilihat telah menjejaskan kestabilan serantau melibatkan negara seperti Lubnan, Iran dan Syria.
“Situasi dan ketidaktentuan di Asia Barat bukan sahaja memberi kesan kepada kestabilan serantau serta global.
“Malah turut menimbulkan implikasi kepada kepentingan Malaysia dari segi ekonomi, perdagangan, tenaga dan keselamatan rakyat kita di rantau berkenaan,” katanya.


