
PUTRAJAYA – Polis Kelantan memburu seorang wanita berusia 30-an yang dikatakan pemilik kepada sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire dipercayai digunakan sindiket penyeludupan dadah di Thailand.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat mendedahkan, individu itu turut memiliki dua kad pengenalan atau dua kewarganegaraan sehingga memudahnya meloloskan diri.
“Bagaimanapun suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau manakala suaminya adalah warganegara Thailand.
“Kami mengesan wanita ini berdasarkan semakan dibuat ke atas nombor pendaftaran kenderaan tersebut,” katanya selepas merasmikan Perhimpunan Bulanan Polis Kontinjen Kelantan, di Kota Bharu, hari ini.
Media pada 16 Ogos lalu melaporkan sebuah MPV jenis Toyota Vellfire bernombor pendaftaran Malaysia antara 13 aset disita dalam operasi besar-besaran menumpaskan sindiket penyeludupan dadah di sempadan.
Operasi khas itu dilaksanakan secara serentak di lima lokasi sekitar Sungai Golok membabitkan kerjasama beberapa agensi penguatkuasaan termasuk Lembaga Kawalan Narkotik Wilayah 9, Polis Wilayah 9 dan Pusat Operasi Khas Wilayah Sempadan Selatan.
Beberapa suspek berjaya ditahan, manakala selebihnya melarikan diri dan gerakan memburu mereka sedang giat dijalankan.





