
DALAM hiruk-pikuk globalisasi yang melanda tanpa mengenal sempadan, kita sering alpa bahawa kebudayaan bukan sekadar hiburan di layar perak atau konsert megah yang mengisi pentas kota. Hakikatnya, makna budaya jauh lebih mendalam. Ia adalah falsafah hidup, nilai luhur, budi bahasa, ilmu tradisional, artifak bersejarah, dan cara hidup yang membentuk jati diri bangsa. Budaya bukan simbol semata-mata, tetapi jiwa yang menghidupkan sebuah negara bangsa.
Namun, semakin ramai menyempitkan erti budaya kepada aspek hiburan semata-mata, seolah-olah budaya tidak lagi berpijak pada akar nilai yang luhur. Jika kita menyusuri sejarah kemerdekaan, pengorbanan dan tolak ansur adalah nilai teras yang memerdekakan tanah air ini. Nilai itu bukan sahaja mendirikan negara, bahkan menyulam perpaduan dalam kepelbagaian. Malaysia lahir daripada semangat tersebut, dan kini Malaysia MADANI tampil sebagai kesinambungan falsafah ini.
Ada suara yang melihat kepelbagaian budaya sebagai ancaman kepada identiti nasional. Tetapi, bukankah kepelbagaian inilah yang menjadi wajah sebenar Malaysia? Bukan satu warna, tetapi pelangi yang memantulkan satu cahaya harmoni. Perlembagaan kita lahir daripada semangat meraikan perbezaan ini.
Kewujudan sekolah vernakular misalnya, yang sering dijadikan polemik sempit, sebenarnya adalah lambang tolak ansur dan kepercayaan antara kaum. Prinsip ini selari dengan konsep ‘peaceful coexistence’ – hidup bersama secara aman, yang menjadi tunjang kepada masyarakat harmoni. Malaysia MADANI menegaskan bahawa hidup bersama dalam satu bingkai kebangsaan adalah rukun penting untuk mengukuhkan perpaduan.
Memartabatkan kebudayaan bukan sekadar tuntutan moral, tetapi rukun dalam membina negara bangsa yang adil dan berperikemanusiaan. Sejarah peradaban membuktikan bahawa bangsa yang maju tetap berpaut pada nilai budaya yang teguh. Tanpa budaya, pembangunan hanyalah batu dan besi yang kaku.
Seperti rumah besar bernama Malaysia, kita memerlukan tiang seri yang kukuh – iaitu nilai budaya yang luhur. Tanpa tiang yang tegak, rumah akan runtuh; tanpa budaya, negara akan rapuh. Malaysia MADANI mengingatkan kita bahawa teknologi dan ekonomi tidak akan kekal tanpa asas budaya yang kukuh.
Cabaran globalisasi: Jangan biarkan budaya kita terpinggir
Realitinya, cabaran globalisasi bukan sekadar soal ekonomi. Ia menghakis nilai, mengikis akar budaya, dan jika tidak diperkasakan, budaya kita akan tinggal sekadar nama. Arus budaya popular yang datang tanpa tapis kadangkala mencairkan identiti sehingga generasi muda lebih mengenali budaya asing daripada warisan sendiri.
Inilah saatnya kita bertanya: Apakah Malaysia masa depan akan berdiri dengan budaya yang kukuh atau hanyut dalam arus global tanpa jati diri? Jika kita gagal memelihara nilai, pembangunan fizikal yang gah tidak akan membawa makna.
Daripada retorik ke tindakan: Apa yang perlu dilakukan?
Memartabatkan budaya tidak boleh dibiarkan sebagai slogan. Ia memerlukan dasar konkrit dan pelan tindakan strategik. Beberapa langkah penting harus dipertimbangkan:
Menggubal dasar kebudayaan menyeluruh – Sebuah dasar yang bukan sekadar memelihara warisan, tetapi mengangkat budaya sebagai asas ketamadunan baharu, meliputi pendidikan, media, seni, dan teknologi.
Menjadikan budaya sebagai agenda strategik negara – Kebudayaan mesti diangkat setaraf dengan pembangunan ekonomi dan teknologi. Ia bukan sektor sampingan, tetapi sektor utama pembinaan negara.
Menubuhkan kementerian kebudayaan yang berdiri sendiri – Selama ini, kebudayaan sering digabungkan dengan kementerian lain, menyebabkan fokusnya terpinggir oleh isu ekonomi. Sebuah kementerian khusus akan memastikan perhatian sepenuhnya terhadap agenda budaya.
Mengintegrasi nilai budaya dalam pendidikan – Bukan hanya pada mata pelajaran Sejarah, tetapi melalui aktiviti harian, teknologi digital, dan platform kreatif. Anak muda harus melihat budaya bukan sebagai beban, tetapi sebagai gaya hidup moden.
Menggalakkan diplomasi budaya – Dalam dunia global, budaya adalah kuasa lembut (soft power). Seni, bahasa, dan warisan boleh menjadi jambatan diplomasi yang mengangkat imej Malaysia di mata dunia.
Kesimpulan: Tinggi budaya, teguh negara
Akhirnya, ukuran sebenar sebuah negara bukan pada tingginya bangunan pencakar langit, tetapi pada tingginya nilai budaya. Peradaban yang agung bukan sahaja dibina dengan batu dan besi, tetapi dengan akal budi, roh, dan nilai yang hidup dalam masyarakat.
Malaysia MADANI memberi kita kerangka, tetapi pelaksanaan terletak pada kita semua – kerajaan, masyarakat, dan individu. Jika kita benar-benar menghayati nilai budaya, kita bukan sahaja memelihara warisan, tetapi juga membina masa depan yang adil, sejahtera, dan berperadaban tinggi.
Kerana akhirnya, negara ini hanya akan kekal teguh jika tiang serinya berdiri kukuh. Dan tiang itu bernama budaya.
*Datuk Ismail Yusop ialah Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM)


