BANGI – Kebimbangan terhadap peningkatan kes buli di sekolah mendorong pendidik, Dr Zulfah Zulkifli, untuk mencipta satu pendekatan baharu yang lebih segar dan relevan dengan realiti pendidikan masa kini.
Hasilnya, lahirlah ‘Emosi Meter Interaktif’, sebuah inovasi yang berfungsi sebagai strategi holistik dalam menangani isu buli dan menyokong kesihatan mental remaja sekolah.
Usaha kreatif Zulfah, yang mengajar di Sekolah Menengah Islam Al Amin Kemaman, bukan sahaja mendapat sambutan positif, malah mengangkat beliau sebagai pemenang Anugerah Guru Inovatif pada Hari Anugerah Musleh (HARUM) 2025 yang berlangsung di Azue Event Hall, Evo Mall Bangi, semalam.
“Suasana pembelajaran kini jauh berbeza berbanding dahulu. Kita perlu pendekatan holistik untuk menangani buli, dan projek ini dengan sokongan pelbagai pihak mampu menjadi modul solusi yang bermanfaat untuk semua,” katanya.
Zulfah bersama suami, Dr Rushdan Halim, pakar bius Hospital Kemaman
Projek ini dibangunkan sebagai projek rintis (pilot project) dengan sokongan pihak sekolah. Menurut Zulfah, matlamatnya adalah untuk membantu pelajar mengurus emosi dengan lebih baik, sekaligus mengurangkan risiko berlakunya insiden buli.
Beliau berharap inovasi tersebut dapat dikembangkan, diperkemas dan dijadikan modul rasmi yang boleh digunakan di seluruh sekolah, termasuk di bawah seliaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Zulfah, yang memiliki Ijazah Doktor Falsafah dari Universiti Malaysia Terengganu, memilih untuk berkhidmat di peringkat sekolah menengah kerana kecintaannya terhadap pendidikan anak-anak remaja.
“Walaupun saya boleh berkhidmat di menara gading, saya memilih untuk berada di sini kerana sayangkan dunia pendidikan menengah dan anak-anak remaja,” ujarnya.