
POLITIK perubahan perlu menjadi asas kepada pembentukan negara Malaysia MADANI bagi memastikan kesejahteraan rakyat dapat dicapai secara menyeluruh, kata Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM), Datuk Ismail Yusop.
Ismail berkata, membangun Malaysia MADANI bukan sekadar memulakan sesuatu yang baharu atau mengekalkan corak kepimpinan sedia ada, sebaliknya memerlukan anjakan paradigma dan pendekatan lebih radikal bagi menghadapi cabaran semasa.
“Sebab ketika ini, dalam suasana di mana cabaran yang ada di hadapan kita hari ini bukanlah cabaran yang sama seperti masa-masa yang lalu.
“Kerana itu ia memerlukan anjakan paradigma yang memerlukan anjakan cara berfikir, memerlukan kita melihat semula bagaimana cara kita mengurus semua aspek kehidupan dan yang baik kita kekalkan.
“Tetapi kita perlu juga melihat bahawa, kita perlu ada satu perubahan yang lebih radikal bagi menghadapi cabaran-cabaran semasa yang ada di hadapan kita,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam podcast Minda Tok Abah pada Jumaat.
Ismail menjelaskan bahawa perubahan yang bersifat reform atau islah perlu membentuk asas baharu untuk mengukuhkan institusi kenegaraan.
Katanya, dalam konteks kepimpinan Kerajaan MADANI, tumpuan utama adalah memastikan pengurusan ekonomi negara lebih mampan bagi menjamin kesejahteraan rakyat.
Menurutnya, tiga perkara utama yang perlu diberi perhatian ialah memperkemas tadbir urus, mengukuhkan pengurusan ekonomi, dan memastikan keadilan sosial supaya semua lapisan masyarakat mendapat manfaat daripada hasil perubahan politik.
“Kalau kita nak melihat perubahan dalam masyarakat itu boleh berlaku dengan lebih bermakna dan berkesan memberi impak kepada kehidupan rakyat, maka politik perubahan itu mestilah menjadi asas kepada perubahan politik,” katanya.





