
KOTA KINABALU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah menumpaskan kegiatan penyeludupan minyak diesel bersubsidi serbuan serbuan Ops Tiris di sebuah premis tanpa nombor di Jalan Bunga Raya, Kepayan pada Khamis.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri KPDN Sabah, Peter J. Berinus Agang berkata, hasil serbuan pada pukul 10.30 pagi, anggaran sebanyak 16,180 liter minyak diesel, sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Land Cruiser dan peralatan telah disita dengan nilai anggaran berjumlah RM34,650.00.
“Seorang lelaki warga tempatan berumur lingkungan 20-an yang dipercayai bertanggungjawab berada di lokasi serbuan turut ditahan bagi tujuan membantu siasatan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
“Serbuan itu melibatkan lima pegawai penguat kuasa di bawah Ops Tiris selepas dua minggu risikan dijalankan hasil maklumat dan aduan orang awam,” katanya dalam kenyataan media pada Jumaat.

Jelasnya, siasatan awal mendapati premis berkenaan tidak mempunyai lesen sah atau kebenaran untuk menyimpan barang kawalan di lokasi tersebut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana memiliki barang kawalan tanpa kebenaran.
Katanya, mana-mana individu yang disyaki di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122), boleh disabit kesalahan dan boleh didenda tidak lebih RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Justeru itu, beliau mengingatkan para pengusaha stesen minyak agar tidak menjual minyak petrol RON95 dan diesel bersubsidi kepada pembeli yang tidak memiliki sebarang kebenaran bertulis daripada KPDN.

“Pemilik stesen boleh disiasat dan dikenakan tindakan di bawah subperaturan 12A Peraturan- Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana gagal mematuhi arahan pengawal ke atas mana-mana pemilik stesen minyak yang terbabit.
“KPDN Sabah akan terus menjalankan pemeriksaan dan pemantauan secara berterusan bagi memastikan tidak berlaku ketirisan barang kawalan yang melibatkan minyak petrol RON95 dan diesel di seluruh negeri Sabah.
“Orang awam dimohon agar sentiasa menjadi mata dan telinga kerajaan bagi membantu kementerian dengan menyalurkan sebarang maklumat mengenai aktiviti penyelewengan barang kawalan bersubsidi yang menyebabkan kerugian besar kepada rakyat dan negara,” ujarnya.







