Sekatan Israel punca kebuluran rakyat Gaza – Jerman

MENTERI Luar Jerman, Johann Wadephul, mendakwa sekatan de facto yang dikenakan Israel ke atas Semenanjung Gaza menjadi punca berlakunya kebuluran serta kematian dalam kalangan penduduk awam di wilayah itu.

Dalam satu temu bual bersama penyiar Jerman, Deutschlandfunk, selepas lawatan rasmi ke Israel dan Palestin baru-baru ini, Wadephul berkata, beliau menyampaikan mesej jelas kepada pihak berkuasa Israel berhubung keperluan mendesak untuk memperbaiki situasi kemanusiaan di Gaza.

“Kami telah lama memerhatikan bahawa sekatan de facto oleh Israel ke atas Gaza menyebabkan kebuluran, penderitaan, dan rakyat hidup tanpa bekalan air mencukupi,” katanya, lapor Anadolu.

Tambah beliau, mesej itu telah disampaikan secara terus dalam pertemuan bersama pemimpin tertinggi Israel dan beliau percaya mesej tersebut telah diterima dengan jelas.

“Saya berharap mesej ini diterima. Berdasarkan pertemuan saya, saya merasakan ia telah difahami,” katanya lagi.

Wadephul turut memberi amaran bahawa tindakan Israel berisiko mengasingkan negara itu daripada masyarakat antarabangsa jika situasi di Gaza terus berlarutan.

“Jerman tidak boleh membiarkan perkara itu berlaku. Kita juga perlu membantu Israel agar tidak terjerumus dalam keadaan sedemikian,” katanya sambil menegaskan bahawa Berlin terus memberi nasihat dan sokongan kepada Israel dalam proses membuat keputusan yang sukar ini.

Dalam masa yang sama, Wadephul turut mengakui bahawa Jerman masih belum mengiktiraf negara Palestin secara rasmi.

“Ini satu perkara yang harus kita akui,” katanya.

Beliau turut menzahirkan kebimbangan bahawa krisis kemanusiaan di Gaza mendorong lebih banyak negara mengiktiraf Palestin secara unilateral tanpa mengambil kira kepentingan Israel.

“Perkembangan ini membimbangkan kami — dan seharusnya membimbangkan Israel juga. Kami berusaha memberi nasihat dan membuka mata mereka agar Israel berada dalam kedudukan yang lebih baik pada masa akan datang,” katanya.

Wadephul dalam kenyataan lanjut turut menyeru agar agensi bantuan antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), agensi-agensi di bawahnya, Palang Merah Antarabangsa serta badan kebajikan berteraskan agama diberi semula akses ke Gaza.

“Jika akses diberikan, pertubuhan ini mampu melaksanakan tugas mereka dengan berkesan,” katanya.

Apabila ditanya mengenai waktu sesuai untuk membuka akses tersebut, beliau menjawab:

“Ia boleh bermula seawal esok — dan sebenarnya ia sudah menunjukkan peningkatan. Hasil pertemuan saya bersama kerajaan Israel minggu ini, jumlah trak bantuan yang memasuki Gaza telah meningkat berbanding minggu sebelumnya.”

Namun begitu, Wadephul menegaskan bahawa jumlah bantuan yang dibenarkan masuk masih jauh daripada mencukupi dan Jerman akan terus memantau keadaan dengan teliti.

Lawatan Wadephul ke wilayah itu pada 31 Julai hingga 1 Ogos lalu menyaksikan beliau mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu; Menteri Luar, Gideon Saar; serta Presiden Palestin, Mahmoud Abbas.

Beliau turut melawat al-Taybeh, berhampiran Ramallah dan mengadakan pertemuan dengan beberapa pertubuhan kemanusiaan yang beroperasi di wilayah berkenaan.

Related Posts

Lapangan terbang utama Jakarta ditutup susulan letusan Gunung Anak Krakatau

JAKARTA – Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, dekat sini ditutup sementara hari ini selepas abu gunung berapi daripada letusan Gunung Anak Krakatau dikesan di kawasan lapangan terbang itu menyebabkan 209 penerbangan…

Lebih lanjut

teruskan membaca
AS, Iran perlu kembali ke meja rundingan

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menggesa Amerika Syarikat (AS) dan Iran menghentikan tindakan yang boleh meningkatkan ketegangan serta segera kembali ke meja rundingan. Beliau berkata, peningkatan ketegangan antara kedua-dua…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Sabah jadi tuan rumah Mesyuarat MTPMA63 di SICC

  • By Ithma
  • September 10, 2026
Sabah jadi tuan rumah Mesyuarat MTPMA63 di SICC

Anwar mulakan lawatan kerja dua hari ke Sabah

Anwar mulakan lawatan kerja dua hari ke Sabah

Perdana Menteri disaran jawab dakwaan, isu integriti kerajaan

Perdana Menteri disaran jawab dakwaan, isu integriti kerajaan

Semangat PAU 2026 jadi pencetus kekuatan jentera parti hadapi pilihan raya

Semangat PAU 2026 jadi pencetus kekuatan jentera parti hadapi pilihan raya

Akmal Saleh sedia ‘berperang’ lawan PH di PRN Melaka 

Akmal Saleh sedia ‘berperang’ lawan PH di PRN Melaka 

Wanita perlu diberi ruang lebih besar bantu UMNO bangkit semula

Wanita perlu diberi ruang lebih besar bantu UMNO bangkit semula