
KOTA KINABALU – Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) bersama Human Resource Development Corporation (HRD Corp) melancarkan Pusat Sehenti Tenaga Kerja KESUMA Negeri Sabah dan Pejabat HRD Corp Sabah, di sini, pada Isnin.
Menurut Menteri Sumber Manusia, Steven Sim, pelancaran Pusat Sehenti ini menandakan pendekatan baharu KESUMA dalam mempermudah perkhidmatan kepada rakyat melalui konsep ‘no wrong door policy’, iaitu semua urusan berkaitan tenaga kerja dan perlindungan sosial kini boleh diakses di satu lokasi.
“Inisiatif rintis ini dijangka akan diperluaskan ke seluruh negara sebagai sebahagian usaha KESUMA untuk menjadikan perkhidmatan lebih cekap, inklusif dan mesra rakyat.
“Melalui HRD Corp, majikan boleh menggunakan levi latihan bukan sahaja untuk meningkatkan kemahiran pekerja, malah juga menaiktaraf infrastruktur latihan dan menggajikan perantis,” jelas beliau semasa menyempurnakan majlis pelancaran itu di sini pada Isnin.

Sementara itu, Ketua Eksekutif HRD Corp, Dr. Syed Alwi berkata, kehadiran pejabat HRD Corp di lokasi baharu ini merupakan langkah strategik untuk memperkukuh perkhidmatan dan membawa pembangunan modal insan lebih dekat kepada komuniti Sabah.
“HRD Corp akan terus memperluas kerjasama dengan pelbagai pihak agar lebih ramai rakyat Sabah, terutama golongan rentan, mendapat manfaat daripada peluang latihan yang relevan dan berimpak tinggi,” ujarnya.
Sebagai rekod, pusat sehenti ini menggabungkan 12 jabatan dan agensi berkaitan tenaga kerja di bawah satu bumbung, termasuk Jabatan Tenaga Kerja, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Mahkamah Perusahaan, Perkeso serta HRD Corp.
Turut hadir pada majlis pelancaran ialah Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah, Datuk Phoong Jin Zhe; Ketua Setiausaha KESUMA, Datuk Azman Mohd Yusof; Timbalan Pengerusi Lembaga HRD Corp, Ahsim Jamat; serta Ahli Lembaga Pengarah HRD Corp, Datuk Soon Lip Chee.






