
KEBERANGKATAN Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, ke Persekutuan Rusia bagi Lawatan Negara atas jemputan rasmi Presiden Vladimir Putin disifatkan sebagai pembuka lembaran baharu dalam hubungan dua hala Malaysia dengan negara tersebut.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, lawatan yang berlangsung mulai esok hingga 10 Ogos itu dijangka akan merancakkan kerjasama strategik dalam pelbagai bidang, termasuk perdagangan dua hala, pelaburan, pendidikan tinggi, teknologi dan inovasi serta hubungan antara rakyat.
“Malaysia berpotensi menarik pelaburan serta teknologi baharu daripada Rusia, khususnya dalam sektor tenaga, aeroangkasa, pertahanan dan pertanian pintar, sejajar dengan agenda Ekonomi MADANI yang menekankan daya saing, kemampanan dan kemakmuran bersama,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook, hari ini.
Menurut Perdana Menteri lagi, lebih penting, Lawatan Negara ini memperkukuh peranan Institusi Diraja Malaysia sebagai pemacu diplomasi negara yang dihormati di peringkat antarabangsa, sekali gus memperteguh kedaulatan dan imej Malaysia sebagai sebuah negara yang berkecuali, terbuka dan progresif.
“Ia melambangkan kedudukan Seri Paduka Baginda sebagai lambang perpaduan negara, yang turut memainkan peranan strategik dalam memperkukuh hubungan antarabangsa Malaysia,” ujar beliau.
Terdahulu, Anwar telah mengiringi Sultan Ibrahim ke Istiadat Mengucap Selamat Berangkat Sempena Lawatan Negara yang berlangsung di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Subang.
Rusia kini merupakan rakan perdagangan kesembilan terbesar Malaysia dalam kalangan negara Eropah, dan yang ke-28 di peringkat global, dengan nilai dagangan dua hala mencecah RM11.46 bilion (AS$2.48 bilion) bagi tahun 2024.
Bagi tempoh Januari hingga Jun 2025, jumlah perdagangan Malaysia–Rusia direkodkan sebanyak RM4.13 bilion (AS$945.7 juta), sekali gus mencerminkan potensi besar untuk kerjasama yang lebih erat pada masa hadapan.







