
PENAMPANG – Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang berjaya memberkas suspek kes amang seksual terhadap pelajar perempuan di sebuah kawasan di Putatan.
Menurut Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton, suspek telah ditahan oleh sepasukan polis dari Balai Polis Putatan pada pukul 6.00 petang, 28 Julai, hasil maklumat dan risikan yang dijalankan.
“Suspek kes tersebut adalah seorang lelaki warga asing berumur 34 tahun.
“Penahanan tersebut dibuat di tepi jalan sekitar Putatan, susulan laporan polis bertarikh 22 Jun 2025 bersabit laporan Polis Putatan/RPT/003056/25) yang diterima berkaitan insiden terbabit,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Jelasnya, suspek kini sedang ditahan reman sementara pihak polis melengkapkan kertas siasatan.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, yang memperuntukkan hukuman penjara dan sebatan jika sabit kesalahan,” ujarnya.
Justeru itu, polis merakamkan ucapan terima kasih kepada orang awam yang telah menyalurkan maklumat berhubung suspek.


