Himpunan Turun Anwar bukan untuk rakyat, hanya nafsu politik dendam pembangkang

PUTRAJAYA – Penganjuran Himpunan Turun Anwar oleh Perikatan Nasional (PN) disifatkan sebagai tindakan politik dendam yang tidak membawa sebarang solusi kepada negara, sebaliknya hanya bermotifkan serangan peribadi terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Cabang PKR Tenggara, Fakharuddin Moslim berkata, kenyataan Ketua Pemuda PN, Afnan Hamimi Taib Azamudden turut membuktikan demonstrasi itu bersifat serangan peribadi terhadap Anwar dan bukan atas dasar penolakan terhadap kerajaan secara keseluruhan.

“Afnan sendiri mengaku serangan ini bersifat peribadi. Beliau menyasarkan batang tubuh Anwar Ibrahim, bukan kerajaan atau dasar. Ini membuktikan himpunan ini bukan untuk rakyat, tetapi demi memenuhi nafsu politik dan dendam terhadap seorang individu. Rakyat sudah muak dengan politik lama seperti ini.

“Hakikatnya, ini bukan soal rakyat, bukan soal dasar, tetapi semata-mata politik dendam terhadap seorang individu,” katanya menerusi kenyataan kepada The Malaysia Press (TMP), pada Jumaat.

Terdahulu, PN memaklumkan himpunan yang dijadual berlangsung Sabtu di ibu negara bukan bertujuan untuk menjatuhkan kerajaan, sebaliknya sekadar menuntut peletakan jawatan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Perkara itu diakui oleh Afnan dan menjelaskan bahawa demontrasi jalanan itu hanyalah menyasarkan Anwar secara peribadi, dan bukannya struktur Kerajaan Perpaduan secara keseluruhan.

Mengulas lanjut, Faiz menegaskan, pelantikan Anwar telah melalui Parlimen yang mendapat sokongan majoriti untuk diangkat sebagai Perdana Menteri, selari dengan Perlembagaan Persekutuan dan tidak melalui tindakan pintu belakang.

“Persoalannya, adakah PN cukup jumlah untuk membawa usul undi tidak percaya di Parlimen? Jika tidak, maka himpunan ini hanyalah retorik politik untuk kekal relevan. Jika Anwar dijatuhkan, siapa gantinya. PN tidak pernah jujur menjawab soalan ini.

“Mereka hanya pandai menjatuhkan, tetapi tidak pernah menawarkan pelan membina. Seperti yang disebut oleh saudara Shahril Hamdan dalam podcast Keluar Sekejap, kekuatan Anwar adalah kerana kelemahan pembangkang yang gagal memberi alternatif,” katanya.

Dalam pada itu, Faiz memaklumkan, Kerajaan Persekutuan ditubuhkan atas semangat perpaduan, kestabilan dan serangan terhadap Perdana Menteri adalah cubaan mengganggu kestabilan politik, keyakinan pelabur serta pemulihan ekonomi yang sedang giat dipacu selepas kemelut politik pada tahun 2020 hingga 2022.

Jelasnya, Kerajaan MADANI bukanlah milik Anwar namun milik Kerajaan Perpaduan yang terdiri daripada pelbagai parti, ideologi selain dasar dan keputusan dibuat secara kolektif oleh Jemaah Menteri.

“Maka serangan hanya terhadap Anwar secara individu, bukan kerajaan keseluruhan, membuktikan bahawa kerajaan ini berfungsi secara sistematik dan berkesan serta serangan itu tidak lebih daripada dendam politik semata-mata.

“Rakyat tidak mahu jalanan dijadikan alat rebut kuasa. Mereka mahu penyelesaian terhadap kos sara hidup, peluang pekerjaan, pendidikan dan kestabilan ekonomi. Bukan provokasi boleh menggugat keamanan hanya kerana mereka tidak mampu terima kenyataan telah ditolak rakyat,” katanya.

Related Posts

Anwar tegaskan Malaysia tidak jadi laluan kargo sokong operasi ketenteraan Israel

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Malaysia tidak akan membenarkan negara ini digunakan sebagai laluan transit bagi sebarang penghantaran kargo yang menyokong atau menyumbang kepada operasi…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Rakyat Malaysia di Yaman diminta kekal di lokasi selamat

KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia yang berada di Yaman, khususnya di sekitar Mocha dan Taiz, dinasihatkan supaya kekal di lokasi selamat susulan perkembangan terkini di negara berkenaan. Kedutaan Besar Malaysia…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Anwar tegaskan Malaysia tidak jadi laluan kargo sokong operasi ketenteraan Israel

Anwar tegaskan Malaysia tidak jadi laluan kargo sokong operasi ketenteraan Israel

AMK Miri tuntut UMNO bertanggungjawab, tidak normalisasi penghinaan agama

AMK Miri tuntut UMNO bertanggungjawab, tidak normalisasi penghinaan agama

Rakyat Malaysia di Yaman diminta kekal di lokasi selamat

Rakyat Malaysia di Yaman diminta kekal di lokasi selamat

Sebelah mata tidak melihat, impian Nurhadrieyana tetap terang

Sebelah mata tidak melihat, impian Nurhadrieyana tetap terang

Bil elektrik naik? TNB jelaskan mekanisme AFA dan faktor penggunaan

Bil elektrik naik? TNB jelaskan mekanisme AFA dan faktor penggunaan

Hari Malaysia medan muhasabah nasional, bina masyarakat matang

Hari Malaysia medan muhasabah nasional, bina masyarakat matang