
MIRI – Seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 22 tahun maut dalam kejadian tragis apabila dihempap kereta semasa melakukan kerja penyelenggaraan di sebuah bengkel di belakang stesen minyak Shell di sini.
Menurut Ketua Polis Daerah Miri, ACP Mohd Farhan Lee Abdullah, pihaknya menerima laporan mengenai insiden itu daripada Balai Polis Pusat Miri pada 21 Julai 2025. Kes tersebut kini disiasat sebagai mati mengejut.
“Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini diminta untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Pusat Miri di talian 085-427093 atau Ketua Polis Balai, Inspektor Nixon Anak Malang di talian 016-8865949,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut menasihati orang ramai agar tidak menyebarkan spekulasi berhubung kejadian berkenaan dan mengelak daripada memuat naik gambar mangsa dalam keadaan mengerikan di media sosial.
“Tindakan sebegini boleh menjejaskan maruah serta emosi ahli keluarga mangsa. Saya mohon supaya gambar tersebut dipadamkan segera bagi menghormati sensitiviti keluarga,” tambahnya.







