Tarif naik bukti AS perguna ekonomi jadi senjata politik, BRICS jadikan Malaysia lebih berkecuali

PUTRAJAYA – Keputusan Amerika Syarikat (AS) mengenakan tarif timbal balik sebanyak 25 peratus terhadap Malaysia disifatkan bukan hanya tindakan ekonomi, namun petanda kepada geopolitik dunia yang semakin tegang, bersifat berat sebelah serta wujudnya pertembungan naratif.

Pemerhati geopolitik dan keselamatan Universiti Utara Malaysia (UUM), Nur Ashikin Yusof berpandangan, dasar itu dilihat sebagai reaksi daripada Presiden AS, Donald Trump selepas Malaysia komited bersama BRICS sehingga negara kuasa besar itu menggunakan perdagangan sebagai senjata politik.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, penyertaan Malaysia menyertai BRICS bukanlah untuk menentang AS namun untuk memastikan negara tidak terlalu bergantung kepada satu paksi kuasa sahaja di samping langkah strategik mengukuhkan keselamatan ekonomi dan kepelbagaian hubungan diplomasi.

“Produk Malaysia yang selama ini menjadi pelengkap kepada rantaian bekalan AS kini dikenakan sekatan yang tidak sepenuhnya berasaskan logik ekonomi tetapi diselit dengan naratif siapa bersama siapa dalam percaturan antarabangsa.

“Cabaran utama adalah memastikan Malaysia kekal berkecuali, tidak terperangkap dalam konflik kuasa besar dan terus mengutamakan kepentingan nasional melalui diplomasi yang aktif, bijaksana serta seimbang. Dunia sedang berubah dan Malaysia mesti bersedia menjadi pemain yang tangkas dalam peralihan kuasa ini.

“Dengan ketidaktentuan perdagangan global, perang tarif yang berulang dan sikap unilateral sesetengah kuasa besar, Malaysia berusaha memperkukuh daya tahan ekonominya melalui kepelbagaian rakan strategik,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP), pada Rabu.

Secara asasnya, Nur Ashikin berkata,  penyertaan Malaysia dalam BRICS boleh difahami sebagai satu strategi geopolitik dan ekonomi  berpandangan jauh untuk menyesuaikan diri dalam landskap dunia yang semakin multipolar, di mana kuasa besar bukan lagi terbatas kepada AS dan sekutunya.

Katanya, pakatan tersebut memiliki satu platform alternatif kepada negara-negara membangun untuk menyuarakan kepentingan bersama, menuntut reformasi sistem kewangan dunia serta menjalin kerjasama perdagangan dan pembangunan yang lebih seimbang.

“Malaysia juga boleh memainkan peranan sebagai jambatan antara ASEAN dan BRICS, mengangkat suara negara-negara membangun dalam pentas global. Secara strategik, ia meningkatkan margin rundingan Malaysia dalam hubungan dua hala termasuk dengan AS kerana Malaysia bukan lagi bergantung kepada satu sumber ekonomi atau politik sahaja namun memiliki risiko, di mana tarif ke atas eksport boleh menjejaskan daya saing produk Malaysia terutamanya di pasaran AS.

“Negara ini juga berisiko disalah tafsir sebagai tidak lagi berkecuali, imej yang selama ini membolehkan negara menjalinkan hubungan baik dengan semua pihak. Sekiranya persepsi ini tidak ditangani dengan diplomasi yang aktif, kerjasama dalam bidang lain seperti keselamatan maritim, teknologi tinggi dan pendidikan mungkin terjejas,” katanya.

Terdahulu, Malaysia menyatakan pendirian tegas terhadap keperluan memperkukuh multilateralisme, reformasi sistem ekonomi global serta tadbir urus kecerdasan buatan (AI) yang beretika pada hari pertama Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS ke-17 yang berlangsung di sini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sesi intervensi bersama pemimpin-pemimpin BRICS di Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS ke-17 di Rio De Janeiro menyeru agar dunia tidak lagi dibelenggu pertembungan blok dan perpecahan geopolitik.

Sebaliknya digerakkan oleh semangat kerjasama, perkongsian kemakmuran dan komitmen bersama terhadap masa depan digital yang adil, selamat dan inklusif.

Related Posts

KPKM pertimbang kad fleet diesel bantu sektor pertanian

PUTRAJAYA – Kerajaan sedang meneliti cadangan pemberian subsidi diesel melalui penggunaan kad fleet kepada kira-kira 7,000 penyedia perkhidmatan pertanian di seluruh negara bagi mengurangkan beban kos operasi sektor itu. Menteri…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Pesawah sedia mulakan musim penanaman selepas Aidiladha

PUTRAJAYA – Aktiviti penanaman padi di Kedah dijangka kembali rancak selepas sambutan Aidiladha susulan keadaan bekalan air di kawasan jelapang padi utama negeri itu semakin stabil. Menteri Pertanian dan Keterjaminan…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

KPKM pertimbang kad fleet diesel bantu sektor pertanian

KPKM pertimbang kad fleet diesel bantu sektor pertanian

Sabah pilih model pertumbuhan seimbang, tolak pembangunan melulu, idealisme ekstrem

Sabah pilih model pertumbuhan seimbang, tolak pembangunan melulu, idealisme ekstrem

Pesawah sedia mulakan musim penanaman selepas Aidiladha

Pesawah sedia mulakan musim penanaman selepas Aidiladha

Perkasa pembangunan belia, naik taraf kemudahan sukan di Sabah – Mordi

Perkasa pembangunan belia, naik taraf kemudahan sukan di Sabah – Mordi

Bekalan ternakan Aidiladha mencukupi tampung permintaan korban

Bekalan ternakan Aidiladha mencukupi tampung permintaan korban

Sikap ‘merajuk’, cepat kecewa Rafizi tidak praktikal depani realiti politik

Sikap ‘merajuk’, cepat kecewa Rafizi tidak praktikal depani realiti politik