
KANGAR – Penubuhan Universiti Kuala Lumpur Asia Sustainable Transportation Institute (UniKL ASTI) di Lembah Chuping, Padang Besar dijangka melonjakkan Perlis sebagai pusat kecemerlangan pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET) dalam bidang logistik dan pengangkutan serantau.
Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah, institusi itu bakal berperanan sebagai pusat rujukan dan latihan profesional berfokus kepada rantaian bekalan dan kejuruteraan logistik.
“UNIKL ASTI akan menjadi nadi pembangunan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) khususnya di Negeri Perlis serta melahirkan graduan berkemahiran tinggi dan kompetitif di peringkat nasional dan antarabangsa,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian semasa majlis pecah tanah projek berkenaan yang turut dihadiri Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Menurut baginda, pembinaan universiti itu juga menggunakan teknologi baharu seperti ‘Industrialised Building System’ (IBS), ‘Building Information Modelling’ (BIM) serta sistem solar sejajar dengan keadaan cuaca di Lembah Chuping.
“Ini akan meningkatkan kecekapan tenaga dan kualiti pembinaan selain memelihara alam sekitar,” titah baginda lagi.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kampus UniKL ASTI akan dibangunkan di atas tanah seluas 60 ekar berhampiran Perlis Inland Port (PIP).
“UniKL ASTI bakal menjadi pemangkin utama pembangunan logistik serantau dan menyokong pelaksanaan PIP yang dijangka menggerakkan dagangan lintas sempadan RM132 bilion menjelang 2027,” katanya.
Menurut beliau, projek tersebut kini berada di fasa akhir reka bentuk dan dijangka siap pada Jun 2028.
Katanya, dengan kerjasama Majlis Amanah Rakyat dan Jabatan Kerja Raya (JKR), projek ini akan memperkukuh agenda TVET nasional serta memperluas akses pendidikan kepada masyarakat luar bandar.





