
SANDAKAN – Rumah Agnes Keith di Sandakan bukan sekadar tinggalan sejarah kolonial, sebaliknya merupakan lambang penting warisan budaya Sabah yang menjadi simbol identiti negeri dan wajar terus dipelihara serta diperkasa.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS), Datuk Seri Christina Liew berkata, rumah bersejarah itu merupakan antara bekas kediaman kolonial British yang masih kekal terpelihara dengan baik dan terus menarik minat pengunjung dari dalam dan luar negara.
“Rumah ini bukan hanya struktur fizikal, sebaliknya merupakan tapak warisan yang menyimpan denyut sejarah dan identiti.
“Usaha konservasi dan interpretasi yang dijalankan membolehkan pengunjung merasai pengalaman unik dan autentik dalam memahami konteks kehidupan masa lalu,” katanya.

Teks ucapan perasmiannya dibacakan oleh Pengarah Jabatan Muzium Negeri Sabah, Arif Abd Hamid di Rumah Agnes Keith, di sini pada Ahad.
Christina turut merakamkan ucapan tahniah kepada Jabatan Muzium Negeri Sabah, Cawangan Muzium Wilayah Pantai Timur dan semua pihak yang terlibat atas peranan aktif mereka dalam menonjolkan Rumah Agnes Keith sebagai satu khazanah sejarah yang penting untuk generasi akan datang.
Sementara itu, Arif berkata, pelbagai program diadakan sempena sambutan tersebut termasuk Forum Enakmen Warisan Negeri Sabah.
“Tujuan forum ini adalah untuk memberikan penerangan kepada orang awam mengenai dua enakmen penting yang sedang dikuatkuasakan iaitu Enakmen Barang Kuno dan Harta Karun 1977 serta Enakmen Warisan Negeri 2017,” katanya.
Beliau turut berkata pameran berkaitan Jabatan Muzium Negeri Sabah turut diadakan, selain aktiviti sukan rakyat bagi memperkenalkan semula elemen budaya tempatan yang kian dilupakan generasi muda.
“Kita bertuah kerana nama Sabah dikenali dunia melalui karya Agnes Keith berjudul Land Below the Wind yang hingga kini sinonim dengan gelaran ‘Negeri Di Bawah Bayu’,” ujarnya.






