ASEAN laksana reformasi kewangan dan perdagangan – PM Anwar

ASEAN kini sedang melaksanakan usaha mereformasi kerangka kerjasama ekonomi serantau bukan sahaja dengan meningkatkan perdagangan antara negara-negara anggota, malah memperluaskan penggunaan mata wang tempatan, demikian menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut beliau, langkah tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif konkrit ke arah mewujudkan sistem kewangan yang lebih stabil dan bebas daripada dominasi unilateral.

“Sudah tentunya, ia bukan mengenai de-dollarisasi (pengurangan pergantungan terhadap dolar AS)… belum lagi, langkah itu masih jauh lagi. Tetapi sekurang-kurangnya kita mencuba.

“Malaysia dengan Indonesia, Malaysia dengan Thailand, dan bersama-sama China, kita mula menggunakan mata wang tempatan kita sendiri, walaupun ia bermula dengan hanya 10 atau 20 peratus daripada jumlah perdagangan.

“Ia membawa perubahan kerana kita tidak boleh berterusan merungut tanpa melaksanakan rancangan sendiri, baik sesama sendiri mahupun dengan jiran kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Forum Perniagaan BRICS bertajuk: ‘Bridging Continents, Building Future: A Shared Agenda for Sustainable Progress’ (Merapatkan Jurang Benua, Membina Masa Depan: Agenda Bersama untuk Kemajuan Mampan), di Rio de Janeiro, Brazil, pada Sabtu.

Turut hadir dalam forum tersebut ialah Presiden Brazil, Luiz Inácio Lula da Silva; Naib Presiden Brazil, Geraldo Alckmin; dan Presiden Confederation of National Industry (CNI) Brazil, Ricardo Alban.

Dalam ucapannya, Perdana Menteri turut menegaskan bahawa negara-negara Asia Tenggara perlu terus mempertahankan prinsip perpaduan, bersahabat dengan semua negara, dan menyokong perjuangan yang adil. Namun, katanya, sokongan itu tidak harus bersifat retorik semata-mata, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui tindakan yang nyata.

“Ia mesti diterjemahkan melalui tindakan konkrit,” tegas beliau.

Anwar juga menyatakan keyakinan bahawa negara-negara ekonomi sedang pesat membangun kini mencapai kejayaan ketara dalam bidang-bidang seperti penerbangan, teknologi, kecerdasan buatan (AI) dan inovasi makanan.

“Saya percaya percubaan BRICS ini akan melahirkan beberapa kejayaan besar yang bakal mengubah landskap dunia dan membawa perubahan dalam sejarah umat manusia.

“Saya berasal dari Malaysia, dan dalam ASEAN, kami sering membincangkan isu yang sama. Pertamanya, kita mesti bersatu. Kita bersatu dalam satu suara berdasarkan perjanjian pelbagai hala,” ujarnya.

Selain itu, beliau turut menyeru agar negara anggota BRICS dan ASEAN terus memperkukuh kerjasama strategik rentas rantau, khususnya dalam aspek perdagangan dan pelaburan demi manfaat bersama negara-negara membangun.

“Saya turut menyeru agar dilakukan reformasi besar-besaran terhadap institusi-institusi global seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Bank Dunia dan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).

“Institusi-institusi ini perlu mencerminkan realiti semasa dan keperluan negara-negara membangun, dan tidak terus terperangkap dalam struktur usang pasca Perang Dunia Kedua,” tegas Perdana Menteri.

Related Posts

Malaysia lonjak kedudukan ke-15 dalam Ranking Daya Saing Dunia 2026

KUALA LUMPUR – Malaysia mencatat prestasi terbaik dalam tempoh lima tahun apabila melonjak lapan anak tangga ke kedudukan ke-15 dalam Ranking Daya Saing Dunia (WCR) 2026 oleh Institut Pembangunan Pengurusan,…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Bekalan tenaga jangka panjang dari Rusia pastikan kestabilan pasaran domestik – PM

KAZAN – Malaysia bakal memperoleh jaminan bekalan petrol, minyak dan gas bagi tempoh jangka panjang daripada Rusia, sekali gus memastikan kestabilan pasaran domestik serta mengukuhkan sekuriti tenaga negara. Perdana Menteri,…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Ipoh perlu kekal moden tanpa kehilangan identiti, warisan – Saarani

Ipoh perlu kekal moden tanpa kehilangan identiti, warisan – Saarani

Festival ulang tahun Bandar Raya Petaling Jaya ke-20 meriah pelbagai aktiviti komuniti

Festival ulang tahun Bandar Raya Petaling Jaya ke-20 meriah pelbagai aktiviti komuniti

Aminuddin beralih kerusi ke DUN Linggi hanya khabar angin

Aminuddin beralih kerusi ke DUN Linggi hanya khabar angin

Kesalahan ‘sunshade’ bukan kesalahan utama, JPJ fokus kes kritikal

Kesalahan ‘sunshade’ bukan kesalahan utama, JPJ fokus kes kritikal

KPDN Sabah siasat isu sotong tular, dakwaan campur ikan dalam jualan tidak disengajakan

KPDN Sabah siasat isu sotong tular, dakwaan campur ikan dalam jualan tidak disengajakan

Perobohan struktur penjaja UTC Sentul demi pembangunan semula, bukan halau peniaga

Perobohan struktur penjaja UTC Sentul demi pembangunan semula, bukan halau peniaga