PUTRAJAYA – Kementerian Pengangkutan dan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) disaran tampil memberi penjelasan terbuka mengenai punca sebenar gangguan perkhidmatan Aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang berlaku hanya beberapa hari selepas sistem baharu itu dilancarkan secara rasmi pada Selasa lalu.
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, langkah segera dan jangka panjang perlu dilaksana secara holistik bagi mengelakkan kejadian seumpama itu berulang.
Menurut beliau, pihaknya menyambut baik inisiatif menaik taraf KLIA, namun setiap sen wang rakyat perlu diterjemahkan kepada perkhidmatan yang konsisten dan boleh dipercayai, bukan kegagalan awal yang menggugat keyakinan awam.
“Audit pasca-pelaksanaan secara bebas dan telus perlu dilakukan terhadap sistem Aerotrain dan keseluruhan perancangan saliran KLIA.
“Semua aspek kontraktor, pembekal dan pemantauan projek perlu dinilai semula, dengan penekanan terhadap ketelusan, kecekapan dan nilai untuk wang rakyat,” katanya menerusi kenyataan kepada The Malaysia Press (TMP), pada Ahad.
Dalam pada itu, Jais menyifatkan insiden itu sebagai mencurigakan memandangkan projek tersebut melibatkan pelaburan besar sebanyak RM742 juta, termasuk RM456 juta khusus bagi sistem Aerotrain baharu.

Lebih mengejutkan, katanya, gangguan itu berlaku disebabkan banjir di dalam terowong, mengakibatkan operasi terhenti dan penumpang terkandas selama hampir 90 minit.
“SPRM perlu diberi ruang untuk meneliti semula proses perolehan dan pelaksanaan projek sekiranya terdapat sebarang elemen keraguan yang melibatkan ketirisan atau kecuaian.
“MCW percaya bahawa ketelusan dan akauntabiliti dalam pelaksanaan projek infrastruktur awam adalah asas kepada keyakinan rakyat dan pelabur terhadap pentadbiran negara. Lebih-lebih lagi apabila Malaysia bersiap sedia menerima kunjungan pelancong sempena Visit Malaysia 2026.
“MCW akan terus memainkan peranan sebagai pemantau bebas demi memastikan integriti dan kebertanggungjawaban sentiasa menjadi keutamaan dalam semua projek berskala besar negara,” katanya.
Pada Jumaat, Perkhidmatan Aerotrain di KLIA digantung sementara selama lebih sejam pada pagi tadi ekoran pengumpulan air dalam terowong tren susulan hujan lebat.
MAHB berkata, insiden itu berlaku sekitar pukul 11 pagi apabila salah satu pam saliran di terowong berkenaan mengalami kerosakan teknikal.






