Serangan AS hancurkan peluang diplomasi – Iran

MENTERI Luar Iran, Abbas Araghchi, menyifatkan serangan terbaharu Amerika Syarikat (AS) ke atas kemudahan nuklear Iran sebagai tindakan yang melampaui batas, sekali gus memberi amaran bahawa ruang untuk meneruskan usaha diplomasi semakin tertutup.

Dalam sidang media di Istanbul pada Ahad, Araghchi menyatakan serangan tersebut sebagai pelanggaran besar, serius dan tidak pernah berlaku sebelum ini terhadap prinsip asas Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta undang-undang antarabangsa, lapor Anadolu.

“Iran mengutuk sekeras-kerasnya tindakan ketenteraan kejam AS terhadap kemudahan nuklear Iran yang bersifat aman dan sah,” katanya.

Menurut beliau, Iran akan terus mempertahankan wilayah dan kedaulatannya melalui apa jua cara, bukan sahaja terhadap tindakan ketenteraan AS, malah turut membabitkan tindakan tidak sah Israel.

Mengulas lanjut, Araghchi menegaskan bahawa seruan untuk kembali ke meja rundingan sudah tidak relevan memandangkan rundingan sudah pun berlangsung sewaktu serangan berlaku.

“Kami sedang berunding dengan AS apabila Israel meletupkan kemudahan kami. Dan sekali lagi, ketika rundingan dengan pihak Eropah berlangsung di Geneva hanya dua hari lalu, kali ini AS pula yang bertindak menyerang,” tambahnya.

Beliau turut mengecam peranan Israel dalam konflik ini dan menyifatkan tindakan rejim itu sebagai “kerja kotor” yang disokong negara-negara Barat.

“Adalah amat malang apabila Israel melakukan apa yang digelar Canselor Jerman sebagai kerja kotor… Mereka menyokong kerja kotor itu, dan ia satu tindakan yang memalukan,” ujarnya.

Tambah beliau lagi, Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear (NPT) tidak mampu lagi melindungi Iran biarpun negara itu kekal mematuhi perjanjian berkenaan sepenuhnya.

“Kenapa negara yang menggunakan tenaga nuklear untuk tujuan aman masih perlu bergantung kepada perjanjian itu?” soalnya.

Araghchi juga memaklumkan beliau akan berlepas ke Moscow pada petang Ahad dan dijadualkan bertemu Presiden Rusia, Vladimir Putin pada Isnin bagi membincangkan perkembangan terkini susulan serangan AS.

Ketika ditanya sama ada Iran akan membalas serangan dengan menyerang pangkalan tentera AS atau menutup Selat Hormuz, Araghchi menjawab: “Kami mempunyai pelbagai pilihan yang tersedia, dan itu sahaja.”

Krisis di rantau Asia Barat semakin meruncing selepas Presiden AS, Donald Trump, mengumumkan bahawa pasukan tenteranya telah melancarkan serangan udara “yang sangat berjaya” ke atas tiga tapak nuklear Iran.

Ekoran serangan itu, Iran menggesa Majlis Keselamatan PBB mengadakan mesyuarat tergempar bagi mengutuk pencerobohan AS dan mengambil tindakan terhadap pihak yang melanggar undang-undang antarabangsa.

Ketegangan bermula pada 13 Jun lalu apabila Israel melancarkan serangan udara ke atas beberapa sasaran di Iran, termasuk kemudahan ketenteraan dan nuklear, yang kemudiannya dibalas oleh Tehran melalui serangan peluru berpandu.

Pihak berkuasa Israel memaklumkan serangan balas Iran mengorbankan sekurang-kurangnya 25 orang dan mencederakan ratusan yang lain.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan Iran melaporkan bahawa sekurang-kurangnya 430 rakyatnya terkorban dan lebih 3,500 lagi cedera dalam serangan udara Israel setakat ini.

Related Posts

Mustapha hormati pendirian Anthony Loke letak jawatan atas prinsip

KOTA KINABALU – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud menghormati pendirian Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook yang mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Denda Najib: Pas perlu jelaskan ‘keadilan’ yang dipertahankan

KENYATAAN Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, yang menyerahkan kepada ahli parti itu sama ada mahu menyumbang kepada tabung bagi membantu Datuk Seri Najib Razak membayar denda…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Mustapha hormati pendirian Anthony Loke letak jawatan atas prinsip

  • By Ezmie
  • September 20, 2026
Mustapha hormati pendirian Anthony Loke letak jawatan atas prinsip

Denda Najib: Pas perlu jelaskan ‘keadilan’ yang dipertahankan

Denda Najib: Pas perlu jelaskan ‘keadilan’ yang dipertahankan

Brighton tewaskan Arsenal, lebur rekod penyandang juara EPL

Brighton tewaskan Arsenal, lebur rekod penyandang juara EPL

Program MADANI Kita jambatan penting kerajaan-rakyat – KP JKOM

Program MADANI Kita jambatan penting kerajaan-rakyat – KP JKOM

Pengampunan bersyarat Najib: Anthony lepas jawatan Menteri Pengangkutan

Pengampunan bersyarat Najib: Anthony lepas jawatan Menteri Pengangkutan

Pengampunan bersyarat Najib tidak ubah status kes 1MDB – SPRM

Pengampunan bersyarat Najib tidak ubah status kes 1MDB – SPRM