
JOHOR BAHRU – Sepasang suami isteri bersama lima anak mereka diselamatkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor selepas ditemukan bergelandangan di sekitar Terminal Bas Larkin, di sini.
Dalam operasi pemantauan gelandangan pada Sabtu lalu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor, Khairin-Nisa Ismail yang turut menyertai misi berkenaan berkata, keluarga terbabit mengakui tidak mempunyai tempat tinggal dan terpaksa berkeliaran di sekitar bandaraya di sini.
“Mengambil kira faktor keselamatan buat kelima-lima anak mereka, maka JKM pada awalnya telah mengambil tindakan segera iaitu menempatkan ibu berusia 40-an bersama kesemua anaknya berumur antara 3 hingga 12 tahun itu di Rumah Persona Johor yang dikelolakan Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim (YPKDT).
“Manakala bapa mereka pula dihantar ke Anjung Singgah. Bagaimanapun, wanita tersebut enggan menetap berasingan atas faktor usia anak-anak mereka yang masih kecil,” katanya ketika dihubungi.

Menurut beliau, justeru, pihaknya telah mengemukakan satu permohonan kepada Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) bagi mempertimbangkan untuk keluarga berkenaan diberi penempatan sementara di Rumah Transit MAIJ yang masih mempunyai kekosongan.
“Alhamdulillah, masih terdapat unit kediaman di bawah MAIJ yang kosong dan keluarga tersebut diberi tempat tinggal sementara, di situ. Selain daripada bantuan perlindungan, wanita tersebut turut menerima Bantuan Kanak-Kanak (BKK) sebanyak RM1,000 sebulan yang telah mula disalurkan sejak bulan lalu.
“Selain itu, JKM juga telah merancang untuk membantu mendaftarkan kesemua kanak-kanak ini ke sekolah yang terletak berhampiran Rumah Persona,” katanya.
Menurut Khairin-Nisa, Kerajaan Johor sentiasa komited dan prihatin terhadap kebajikan golongan rentan.
Usaha ini katanya selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk mencapai sasaran Sifar Miskin Tegar iaitu memastikan setiap individu yang memerlukan mendapat bantuan, perlindungan dan sokongan yang sewajarnya.







