
KOTA KINABALU – Universiti Malaysia Sabah (UMS) menyifatkan tindakan membakar karikatur menggambarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim oleh sekumpulan mahasiswa semasa Perhimpunan Gempur Rasuah 2.0 baru-baru ini sebagai tidak beradab dan kurang matang.
Menurut kenyataan rasmi universiti itu pada Isnin, insiden yang tular di media sosial itu dilihat bertentangan dengan norma-norma perhimpunan aman dan tidak mencerminkan tahap intelektual pelajar institusi pengajian tinggi.
“UMS menolak sebarang bentuk tindakan provokatif yang boleh mendatangkan mudarat, bukan sahaja kepada mahasiswa yang terlibat, tetapi juga kepada orang awam.
“Tiada penglibatan secara langsung atau tidak langsung daripada UMS dalam insiden berkenaan, dan satu laporan polis akan dibuat bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan oleh pihak berkuasa,” katanya.
Dalam pada itu, UMS turut melahirkan rasa kesal terhadap tindakan segelintir mahasiswa yang mempertikaikan pelantikan Tun Musa Aman sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah, sedangkan pelantikan itu dilakukan dengan perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
“Perkara itu sewajarnya dihormati, khususnya oleh rakyat Malaysia,” menurut kenyataan itu lagi.



