
MANJUNG — Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melakar satu lagi sejarah apabila meluluskan peruntukan mega hampir RM300 juta bagi melaksanakan transformasi besar-besaran fasiliti dan infrastruktur di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, Perak.
Pengumuman luar biasa itu dibuat Anwar di hadapan hampir 1,500 anggota TLDM Lumut, ketika Program MADANI Rakyat: Menyantuni Warga TLDM Lumut yang diadakan di Manjung, pada Ahad.
Antara peruntukan yang diberi lampu hijau ialah RM65 juta untuk pembinaan Kompleks Klinik Pakar dan naik taraf Hospital Angkatan Tentera Malaysia Lumut dan RM23.3 juta bagi penggantian tangki BFI.

Manakala RM66.5 juta untuk naik taraf jeti operasi tambatan Pangkalan TLDM Lumut, dan RM100 juta untuk meningkatkan sistem agihan bekalan voltan tinggi (33kV).
Program MADANI Rakyat: Kenduri Rakyat itu merupakan inisiatif Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM) dengan kerjasama strategik Unit Penyelarasan Lanjakan Prestasi (PACU) Jabatan Perdana Menteri dan Pangkalan TLDM Lumut.

Kehadiran pemimpin nombor satu negara itu merupakan kunjungan buat julung kalinya untuk menyantuni dan mendekati anggota TLDM Lumut.
Majlis turut diserikan kehadiran Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Zulhelmy Ithnain; Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, dan Ketua Pengarah JKOM, Datuk Ismail Yusop.
“Alhamdulillah, saya telah menjejak kaki buat pertama kali ke Pangkalan TLDM Lumut.
“Saya tidak hanya disambut oleh angin menderu Selat Melaka tetapi juga oleh semangat waja warga pertahanan negara.
“Berbekalkan semangat yang madani dan kecintaan kepada negara dan tanah air, saya umumkan komitmen berterusan kerajaan dalam memartabatkan TLDM sebagai benteng maritim yang unggul,” kata Anwar.

Tambahnya, projek pembangunan yang diluluskan adalah sebagai tanda komitmen beliau terhadap kesejahteraan anggota TLDM Lumut untuk jangka panjang.
“Sesungguhnya pertemuan dengan keluarga besar TLDM pada hari ini memperkukuhkan iltizam saya agar kemudahan dan keselesaan yang mereka wajar nikmati dapat diperluas.
“Terima kasih warga TLDM Lumut. Negara ini berdiri gagah kerana keringat dan pengorbanan kalian,” ujar beliau.






