
SEMPORNA – Operasi Bersepadu dikordinasikan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) berjaya menahan 56 individu atas pelbagai kesalahan termasuk narkotik dan penyelewengan barang kawalan dengan nilai rampasan sebanyak RM63,987.50.
Operasi Bersepadu dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) serta Jabatan dan Agensi Persekutuan Negeri termasuk Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu dilaksanakan selama dua hari bermula Khamis lepas.
Komander ESSCOM, DCP Datuk Victor Sanjos berkata, operasi itu menyasarkan penempatan berhampiran pinggir bandar dan kawasan Pasar Umum Semporna bagi membanteras penyeludupan barang kawalan, bersubsidi, tidak bercukai dan penyusupan PATI selain penguatkuasaan terhadap kesalahan-kesalahan lain.
Katanya, sepanjang operasi terbabit, 147 pemeriksaan fizikal terhadap orang dan 104 rumah serta premis perniagaan telah dilaksanakan.
“Daripada jumlah itu, 34 orang PATI warganegara Filipina telah ditangkap dan diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Semporna atas kesalahan di bawah Seksyen 51(5)(b), Akta Imigresen 1959/ 63 untuk tindakan lanjut.

“16 orang lagi ditahan atas kesalahan-kesalahan di bawah Akta Pendaftaran Negara 1959 dan Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990,” katanya dalam kenyataan media, pada Sabtu.
Menurut Victor, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna juga telah menahan dua individu serta merampas 15.94 gram dadah jenis methamphetamine dan akan disiasat di bawah Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
“Bahagian Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Semporna dan Batalion 22 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kunak turut menahan empat individu serta merampas barang kawalan dan bersubsidi yang diselewengkan iaitu minyak petrol dan minyak masak.

“Turut dirampas sebuah bot kayu dengan enjin sangkut yang digunakan untuk aktiviti tersebut dan kes akan disiasat bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.
Tegas Victor, operasi sedemikian terus diperhebat ke daerah-daerah ESS Zone lain bagi mengekang sebarang elemen jenayah rentas sempadan yang boleh mengganggu gugat keselamatan dan kesejahteraan awam di Sabah Timur.
Sehubungan itu, beliau menyeru kerjasama orang awam menyalurkan maklumat berkaitan sebarang insiden keselamatan di ESS Zone ke Pusat Operasi ESSCOM di talian 089-863181 atau melalui aplikasi Whatsapp di talian 011-63311072.







