
HASIL pertanian yang ditanam di Malaysia tidak tertakluk kepada cukai jualan, kata kenyataan Kementerian Kewangan (MOF).
Dalam satu kenyataan, MOF berkata, pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang diperluas dan bakal berkuat kuasa mulai 1 Julai 2025 hanya melibatkan barang yang dikilang dalam negara serta barang import.
“Hasil pertanian yang ditanam di dalam negara tidak dikategorikan sebagai barang yang dikilang. Oleh itu, hasil tersebut tidak dikenakan cukai jualan,” kata kenyataan itu.
MOF berkata, buah-buahan yang ditanam di Malaysia seperti pisang, nanas dan rambutan dikecualikan daripada cukai berkenaan.
Namun, buah-buahan yang diimport dari luar negara tetap tertakluk kepada cukai jualan.
Kenyataan tersebut dikeluarkan sebagai maklum balas terhadap laporan media yang menyentuh isu pelaksanaan cukai jualan ke atas buah-buahan tempatan, selain menjawab kebimbangan syarikat yang menyatakan kekangan masa untuk melaksanakan cukai perkhidmatan menjelang 1 Julai.
Bagi syarikat yang belum berdaftar di bawah SST tetapi menawarkan perkhidmatan yang kini dikenakan cukai, seperti penyewaan, mereka perlu menilai sama ada jumlah pendapatan daripada penyewaan telah mencapai ambang RM500,000 dalam tempoh 12 bulan.
“Sekiranya mereka telah mencapai ambang hasil pada Julai, maka syarikat itu perlu mendaftar selewat-lewatnya pada Ogos dan hanya mula mengenakan cukai perkhidmatan ke atas perkhidmatan mereka mulai 1 Sept, 2025, iaitu lebih daripada dua bulan dari sekarang,” kata kementerian itu.
Mengambil kira keperluan untuk memberi ruang kepada syarikat yang terlibat memahami pelaksanaan SST yang diperbaharui, MOF juga bersetuju untuk memberikan tempoh kelonggaran sehingga Disember 2025.
“Kerajaan tidak akan mengenakan penalti ke atas syarikat yang benar-benar telah berusaha untuk mematuhi SST yang disemak semula itu,” katanya.




