
TAWAU – Pendekatan rundingan secara tenang yang disarankan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bukanlah lambang kelemahan atau usaha menindas hak Sabah, sebaliknya mencerminkan kematangan demokrasi.
Ketua Cabang PKR Tawau, Fung Thin Yein berkata, pendekatan itu memerlukan komitmen terhadap penyelesaian dialog yang berlandaskan undang-undang, rasional, konstruktif dan saling menghormati.
Beliau berkata, apa sahaja tuntutan, walau seadil mana sekalipun perlu dilaksanakan melalui komunikasi yang baik dan kerjasama.
“Sejarah telah membuktikan bahawa banyak pencapaian penting termasuk sebahagian pelaksanaan MA63, penambahbaikan dalam agihan kewangan, serta peruntukan infrastruktur telah dicapai melalui platform perundingan yang digerakkan oleh kerajaan pimpinan Anwar.
“Teriakan dan provokasi tidak pernah membawa perubahan yang berpanjangan kerana pendekatan yang penuh konfrontasi dan ugutan hanya akan membina jurang ketidakpercayaan antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada wartawan The Malaysia Press tampil menyelar kenyataan Presiden Borneo’s Plight in Malaysia Foundation (BoPiMaFo), Daniel John Jambun, yang mengkritik ucapan Anwar semasa sambutan Pesta Kaamatan di Sabah, baru-baru ini.
Fung berkata, kenyataan Daniel bersifat terlalu emosi dan tidak mencerminkan realiti sistem persekutuan negara serta keperluan kepada mekanisme perundingan.
Jelasnya, Daniel menyamakan tuntutan rakyat sebagai ‘keberanian’ tetapi
mengabaikan hakikat bahawa keberanian sebenar ialah keupayaan untuk berhadapan isu yang rumit dan sensitif dengan tenang, berstrategi dan penuh hikmah dan bukan dengan retorik emosional semata-mata.
“Sememangnya benar bahawa Sabah adalah rakan pengasas Persekutuan Malaysia. Namun, ini tidak memberi hak untuk menetapkan syarat secara sebelah pihak atau mengambil pendekatan melawan demi menuntut pulangan.
“Sistem Persekutuan mengutamakan kerjasama, saling percaya dan perundingan dimana segala isu yang melibatkan hasil, kewangan dan bidang kuasa perlu diselesaikan melalui mekanisme institusi yang telah dipersetujui, bukan melalui tekanan serta ugutan,” katanya.
Tambah Fung, isu Sabah seperti kemiskinan dan kekurangan infrastruktur adalah hasil pengabaian berdekad lamanya, bukan sesuatu yang boleh diselesaikan serta-merta.
“Namun, Perdana Menteri kini telah menunjukkan komitmen luar biasa untuk memperbetulkan keadaan melalui penubuhan jawatankuasa khas, peruntukan tambahan dan lawatan berkala ke Sabah dan Sarawak.
“Sekiranya setiap usaha ini hanya disambut dengan tuduhan dan syak wasangka, kita hanya akan merosakkan peluang untuk mencapai kemajuan sebenar.
“Kepimpinan yang sejati bukan hanya berani bersuara, tetapi juga tahu bila untuk berhikmah, bila untuk bersabar dan bila untuk bertindak secara strategik,” ujarnya.
Sehubungan itu katanya, pendekatan rasional secara tenang itu bukan sahaja berkesan, malah menghormati kebijaksanaan dan martabat rakyat Sabah.
“Politik bukanlah pentas drama yang dimenangi dengan suara paling lantang.
“Perubahan hanya akan berlaku melalui kesatuan, rasionaliti dan usaha berterusan dalam sistem yang sah.
“Masa depan Sabah tidak boleh digadaikan kepada emosi dan retorik, sebaliknya mesti dibina melalui kebijaksanaan kolektif dan semangat kerjasama,” tegasnya.






