Persaingan Timbalan Presiden PKR cerminan akar umbi mahukan perubahan demi kelangsungan parti

PERTEMBUNGAN di antara Nurul lzzah Anwar dan Datuk Seri Rafizi Ramli bagi jawatan Timbalan Presiden PKR dilihat satu perkembangan positif dan signifikan dalam senario politik parti terbabit yang sudah mencapai usia 26 tahun.

Bagi setengah pihak, mereka melihat kehadiran Nurul Izzah untuk mencabar Rafizi selaku penyandang jawatan nombor dua dalam PKR mencerminkan kematangan demokrasi dalam parti di samping memperkukuh barisan kepimpinan dalam menghadapi masa depan.

Ada juga segelintir pihak mendakwa prinsip demokrasi sengaja ditunggang bagi membenarkan anak sulung kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding jawatan nombor dua parti pada pemilihan kali ini.

Bagaimanapun, apa yang perlu menjadi keutamaan bagi kedua-dua calon dan penyokong memastikan persaingan pemilihan kali ini berlangsung dalam semangat kekeluargaan dan tidak menjejaskan perpaduan parti.

Walaupun terpalit dengan gelaran parti ‘anak beranak’ selepas Anwar dan Nurul Izzah mengesahkan pencalonan bagi pemilihan PKR kali ini, apa yang menjadi keutamaan adalah melenyapkan sentimen tersebut dengan dibuktikan pencapaian hasil kerja, selepas memenangi jawatan tersebut.

Apapun, pastinya, Pemilihan PKR 2025 peringkat pusat bakal menjadi tumpuan rakyat secara umumnya yang mahu mengikuti rapat perkembangan persaingan antara Nurul Izzah dan Rafizi.

Dari perspektif masyarakat awam, mungkin ada yang tidak kisah siapa yang bakal menerajui jawatan nombor dua dalam parti tersebut berikutan apa yang penting buat mereka adalah sumbangan dan khidmat mereka kepada rakyat selepas ini.

Bagi PKR, perubahan dalam tampuk organisasi, lebih- lebih lagi membabitkan jawatan tertinggi seperti timbalan presiden boleh menjadi titik tolak kepada perubahan yang ingin dilakukan demi kelangsungan parti.

Jika diteliti di media massa mahupun media sosial, sokongan ketika ini lebih memihak kepada Nurul Izzah untuk memegang jawatan Timbalan Presiden PKR selepas dikatakan lebih 150 daripada 220 cabang PKR memberi sokongan kepada pemimpin tersebut.

Peralihan itu membuktikan akar umbi mendambakan pimpinan baharu yang lebih berkaliber bagi jawatan nombor dua parti tersebut bagi membantu Presiden PKR mengharungi ranjau dan onak berduri dunia politik yang semakin kompleks selain mahukan pemimpin yang boleh diterima sebaiknya oleh kem Rafizi dan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Saifuddin yang sebelum ini berhajat untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR namun tidak meneruskannya dilihat membuka ruang bahawa Izzah adalah sosok pemimpin yang layak memegang jawatan tersebut kerana mampu diterima baik oleh penyokong daripada kem Menteri Ekonomi serta Menteri Dalam Negeri (KDN) itu.

Sehubungan itu, pelbagai pihak serta akar umbi PKR menaruh keyakinan bahawa Nurul Izzah adalah calon paling layak menjadi nahkoda dalam memegang  jawatan itu demi menyambut obor reformasi yang menjadi asas dan teras perjuangan kepada parti terbabit demi menjamin masa depan parti.

Prinsip terbabit harus diamati oleh setiap ahli parti agar PKR memiliki keupayaan pragmatik dalam menjambatani idealisme tuntutan realiti politik semasa yang telah pun diakui oleh kebanyakan pemimpin parti.

Sehubungan itu, semua calon yang bertanding dalam Pemilihan PKR 2025 kali ini perlu menjadikan ia sebagai perlawanan persahabatan yang membantu memperkasakan parti di samping keperluan dalam mengelak menyerang calon lain termasuk mempersoalkan isu kesetiaan.

Related Posts

PH Negeri Sembilan mangsa politik identiti kaum, agama

KEPUTUSAN Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan membuka satu persoalan besar yang perlu direnungi oleh seluruh rakyat Malaysia, khususnya pengundi Melayu. Adakah kita memilih kerajaan berdasarkan prestasi, atau berdasarkan sentimen…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Pendedahan RCI TH bukan modal politik, tegaskan komitmen tatakelola menjelang perbahasan 11 Ogos

Oleh: TJ ISHAK PENDEDAHAN Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung pengurusan dan operasi Lembaga Tabung Haji (TH) bagi tempoh 2014 hingga 2020 kepada umum ditegaskan sebagai satu langkah berpaksikan ketelusan…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Persidangan FEBS 2026 bincang potensi AI pacu kelestarian ekonomi Borneo

Persidangan FEBS 2026 bincang potensi AI pacu kelestarian ekonomi Borneo

JPA buka permohonan Dermasiswa B40 untuk lepasan SPM 2025

JPA buka permohonan Dermasiswa B40 untuk lepasan SPM 2025

Tiga pekerja stesen minyak ditahan salah guna subsidi BUDI MADANI

Tiga pekerja stesen minyak ditahan salah guna subsidi BUDI MADANI

Bekas CEO, CFO Tabung Haji ditahan, disyaki salah guna kuasa RM370 juta

Bekas CEO, CFO Tabung Haji ditahan, disyaki salah guna kuasa RM370 juta

Pasca PRN Negeri Sembilan: Apabila persepsi mengatasi prestasi

Pasca PRN Negeri Sembilan: Apabila persepsi mengatasi prestasi

Pemasangan Bailey Bridge di Jalan Tun Fuad Stephen dijangka siap tiga minggu

Pemasangan Bailey Bridge di Jalan Tun Fuad Stephen dijangka siap tiga minggu