KUANTAN – Kerajaan Pahang disaran mengambil tindakan tegas terhadap pencerobohan tanah di Raub, termasuk pembekuan aset kumpulan penceroboh itu.
Aktivis masyarakat, Mohd Shukri Mohd Ramli berkata, langkah tersebut penting sebagai ganti rugi atas kehilangan hasil Kerajaan Negeri akibat penerokaan haram sejak empat dekad lalu.
“Bila aset penceroboh dibekukan, hasil daripada pembekuan dan duit berjuta-juta dalam akaun mereka dapat dipulangkan kembali kepada Kerajaan Negeri.
“Pencerobohan ini patut didakwa di bawah Akta 828 Kanun Tanah Negara, harta benda ditahan, aset dibekukan dan kerajaan rugi berjuta-juta sebelum ini,” katanya.
Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Khamis lalu menzahirkan rasa terkejut dengan jumlah tanah kerajaan diteroka secara haram seluas 10,521 hektar untuk penanaman durian di Raub.
Dalam perkembangan sama, Mohd Shukri menegaskan Kerajaan Pahang juga perlu bertindak adil kerana rakyat mengusahakan tanah kecil tapi dikenakan tindakan, sedangkan penceroboh besar seolah-olah diberi ‘layanan istimewa’.
Sementara itu, Presiden Pertubuhan Suara Anak Pahang, Haslihelmy DM Zulhasli berkata, pencerobohan tanah kerajaan adalah kesalahan yang jelas melanggar undang-undang dan tidak wajar diberi ruang untuk rundingan.
“Isu pencerobohan tanaman di Raub bukan perkara baharu. Sudah 40 tahun berlalu. Adakah wajar mereka yang terlibat diberi tawaran skim pemutihan?” katanya menerusi satu kenyataan media.
Haslihelmy menegaskan bahawa skim pemutihan adalah tidak wajar kerana penceroboh berkenaan sudah lama meraih keuntungan tanpa membayar cukai.
“Mereka sudah untung selama ini, memberi ganjaran melalui skim pemutihan hanya akan menggalakkan lebih banyak pencerobohan pada masa depan,” tambahnya.







