
SIBUTI – Semangat perpaduan dan keharmonian kaum terus disemarakkan menerusi penganjuran Majlis Melanggar Meja & Ramah Tamah Aidilfitri Daerah Subis 2025 yang berlangsung penuh meriah di Arena Sibuti, Bekenu pada Sabtu.
Majlis yang dirasmikan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan merangkap Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah itu mengetengahkan tema ‘Raya Serumpun, Tradisi Harmoni’, sekaligus mencerminkan nilai kebersamaan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.
Sambutan itu turut diserikan dengan kehadiran masyarakat daripada pelbagai latar belakang termasuk komuniti Kedayan, Melayu, Dalik, Miriek, Melanau, Penan, Iban, Cina dan lain-lain, yang bersama-sama meraikan bulan Syawal dalam suasana penuh muhibah.
Menurut beliau, sambutan Hari Raya bukan sekadar perayaan keagamaan, malah menjadi wahana penting dalam memupuk persefahaman dan merapatkan jurang antara kaum dan agama melalui budaya kunjung-mengunjung serta perkongsian tradisi.
“Sambutan seperti ini mencerminkan kekuatan komuniti kita. Ia membuktikan bahawa kepelbagaian bukan penghalang, sebaliknya satu kelebihan apabila diraikan dalam semangat kekeluargaan dan perpaduan,” katanya.
Sebanyak 37 khemah raya mengambil bahagian, terdiri daripada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), agensi kerajaan, persatuan penduduk, masjid dan surau, menzahirkan semangat gotong-royong serta kerjasama erat masyarakat setempat.
Pelbagai pengisian menarik turut memeriahkan majlis seperti pertandingan khemah raya ‘Bisai Hantap’, persembahan kebudayaan, bermukun, bergendang dan cabutan bertuah.
Dalam pada itu, Abdul Karim turut menyeru rakyat agar terus menyokong inisiatif pembangunan kerajaan demi menjamin kemakmuran dan kesejahteraan negeri Sarawak secara berterusan.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak Sarawak, Datuk Rosey Yunus; Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Lukanisman Awang Sauni; Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Dr. Ripin Lamat serta barisan menteri Kerajaan Sarawak yang lain.






