KUANTAN – Polis Pahang memberi amaran tegas kepada peniaga barang lusuh supaya tidak membeli kabel curi milik syarikat utiliti seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB) atau syarikat komunikasi lain.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, tindakan peniaga membeli barangan curi menyebabkan permintaan terhadap kabel curi meningkat.
“Kita ingin mengingatkan peniaga barang lusuh supaya tidak membeli barangan curi. Bila tiada pembeli, tiadalah permintaan.
“Ini adalah langkah pencegahan di peringkat awal supaya kegiatan mencuri ini tidak memberikan sebarang nilai kepada pelakunya,” katanya selepas Program High Profile Policing: Perjumpaan Ketua Polis Pahang bersama peniaga barang lusuh Pahang, di sini, petang tadi.
Yahaya memaklumkan bahawa sepanjang tahun 2023, sebanyak 211 laporan polis berkaitan kecurian kabel diterima dengan 31 tangkapan dilakukan.
Namun, katanya, tahun lalu sebanyak 414 laporan diterima dan 100 tangkapan dilakukan, menunjukkan peningkatan ketara.
“Oleh itu, kita memberi kesedaran kepada semua peniaga barang lusuh agar bersama-sama menangani isu ini.
“Kita juga bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi mendapatkan maklumat berkaitan kehilangan kabel yang berlaku,” ujarnya.





