
SANDAKAN — Sebanyak dua lagi Pusat Ekonomi Digital (NADI) sedang dalam pelaksanaan di Sabah, menjadikan jumlah keseluruhan 132 NADI yang kini beroperasi di negeri itu.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, daripada keseluruhan jumlah tersebut sebanyak 118 NADI merupakan fasiliti sedia ada manakala 14 lagi merupakan NADI baharu yang telah dan sedang dibangunkan.
“Daripada 14 NADI baharu ini, 12 telah siap dan beroperasi, sementara dua lagi NADI Kampung Gelam di Semporna dan NADI Pulau Banggi di Kudat masih dalam pelaksanaan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Program Hari Bersama Komuniti (HBK) di NADI Sim Sim di sini, pada Ahad.

Beliau berkata, di Sandakan sahaja terdapat lapan NADI yang beroperasi iaitu NADI Sim Sim; NADI Pekan Batu Sapi; NADI PPR Taman Mesra; NADI Taman Mawar; NADI PPR Taman Murni; NADI Kampung Sungai Kayu; NADI Sebait Padas dan NADI PPR Taman Gum Gum.
Katanya, hampir 12,000 komuniti di sekitar kawasan NADI di Sabah mendapat manfaat daripada pelbagai program dan kemudahan yang disediakan melalui pusat-pusat tersebut.
“Sejak beroperasi pada 22 Oktober 2019, NADI Sim Sim dilihat memainkan peranan penting dalam memperkasakan komuniti terutamanya menerusi pelaksanaan inisiatif Perkhidmatan Pintar yang meliputi lima teras utama Keusahawanan, Pembelajaran Sepanjang Hayat, Kesejahteraan Kendiri, Kesedaran dan Inisiatif Kerajaan.
“Inisiatif ini bukan sahaja membantu merapatkan jurang digital tetapi juga meningkatkan kesejahteraan sosioekonomi masyarakat setempat,” katanya.
Sempena penganjuran HBK hari ini, pelbagai aktiviti menarik telah dilaksanakan, termasuk Kempen Internet Selamat, pameran Perkhidmatan Pintar NADI, pameran usahawan NADI dan Jualan Agro MADANI anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).
Selain itu, beliau turut berkongsi bahawa Kempen Internet Selamat memberi fokus kepada pelajar sekolah rendah berumur bawah 13 tahun yang merupakan pengguna aktif internet namun berisiko tinggi terhadap ancaman siber seperti buli, pemangsaan dalam talian dan pendedahan kepada kandungan tidak sesuai.
“Melalui kempen ini, kanak-kanak diajar asas penggunaan Internet secara beretika dan diberi kesedaran mengenai had umur minimum untuk memiliki akaun media sosial iaitu 13 tahun ke atas,” katanya.
Tambah beliau, usaha ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam membentuk generasi celik digital yang bukan sahaja mahir dalam penggunaan teknologi malah beretika serta berdaya tahan di dunia siber.
Dalam pada itu, Fahmi turut menzahirkan penghargaan terhadap kejayaan para usahawan komuniti NADI Sim Sim yang berjaya meningkatkan pendapatan mereka hasil daripada program bimbingan dan latihan berstruktur.
“Melalui program seperti NADIPreneur ramai usahawan tempatan kini mampu memasarkan produk mereka secara dalam talian menggunakan platform seperti Facebook, Instagram, TikTok dan Shopee,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa inisiatif nasional ‘1 DUN 1 NADI’ membuktikan komitmen kerajaan untuk memperluaskan akses maklumat dan teknologi digital ke kawasan luar bandar dan pedalaman khususnya di negeri Sabah.





