
MENTERI Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil mengingatkan orang ramai agar berwaspada dengan mesej palsu berkaitan bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang tersebar di WhatsApp.
Fahmi berkata, pautan palsu yang digunakan oleh pengendali pelaburan dalam talian yang tidak wujud atau ‘scammer’ adalah untuk mencuri akses kepada aplikasi WhatsApp milik pengguna.
“Hati-hati dengan mesej tersebar dalam WhatsApp seperti ini. Jangan klik, ini pautan ‘scammer’.
“Jika anda klik, anda akan hilang akses ke aplikasi WhatsApp anda,” katanya dalam hantaran melalui Facebook, hari ini.
Justeru, beliau menasihati orang ramai untuk merujuk laman sesawang rasmi kementerian berkaitan bagi mendapatkan maklumat sahih mengenai sebarang bentuk bantuan kerajaan.
Terdahulu, sejak Jumaat telah tular satu mesej melalui WhatsApp yang mengandungi pautan kononnya untuk orang ramai membuat semakan dan tuntutan STR.






