
TAPAH – Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning bukan sahaja menjadi kayu ukur menguji kekuatan naratif kerajaan stabil dan progresif, namun sejauh mana akar umbi bersedia melupakan permusuhan lama serta menyokong calon gabungan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) demi matlamat bersama dalam membawa suara masyarakat setempat.
Penganalisis politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr Zaini Othman berkata, sentimen anti UMNO dalam kalangan penyokong tegar PH masih wujud dan boleh memberi kesan kepada kadar keluar mengundi atau undi protes.
Sehubungan itu, beliau berpandangan, jentera parti gabungan Kerajaan MADANI perlu memastikan penyokong PH, khususnya pengundi Cina dan India bersedia menerima calon UMNO da komited untuk keluar mengundi pada 26 April depan.
“Pengundi Melayu menjadi kumpulan penentu utama. Namun, satu lagi faktor kritikal ialah komposisi umur.
Lebih 40 peratus pengundi terdiri daripada mereka berumur antara 18 hingga 39 tahun, golongan yang dilihat lebih responsif terhadap naratif perubahan, agama dan anti-establishment.
“Ini memberikan kelebihan kepada PN jika kadar keluar mengundi golongan belia tinggi. Sebaliknya, BN-PH harus bekerja keras memastikan kelompok ini memahami dan menerima kerjasama dua parti yang dahulunya bermusuhan, kini bersatu demi kestabilan politik serta pemulihan ekonomi,” katanya menerusi kenyataan The Malaysia Press (TMP), pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Zaini berkata, calon BN mampu mencapai kemenangan majoriti besar jika ada ‘penggabungan total’ undi PH dan BN serta turn-out yang tinggi dalam kalangan pengundi bukan Melayu, namun memerlukan koordinasi jentera yang rapi dan naratif meyakinkan.
Beliau yang juga Felo Penyelidik Kanan, Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia memaklumkan,
kekuatan jentera yang dimiliki oleh PH dan BN, selain berkongsi sumber dan pengundi memberi kelebihan kepada calon BN untuk menawan hati pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan.
“Dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), gabungan undi BN dan PH di DUN Ayer Kuning berjumlah 15,963 undi, bersamaan 68 peratus undi popular. Ini secara teori meletakkan mereka di hadapan jika undi itu dapat dikekalkan dan digembleng secara bersepadu.
“Namun dalam politik, gabungan dinilai menerusi kiraan matematik tidak semestinya menghasilkan penjumlahan automatik. Sekiranya jentera gabungan berjalan lancar dan pengundi PH tidak memboikot calon UMNO, kemenangan adalah dalam jangkauan tapi margin dijangka tidak besar, sekitar 800-1,200 undi,” katanya.
Dalam pada itu, Zaini memaklumkan, BN tidak seharusnya memandang ringan trend Perikatan Nasional (PN) yang menggunakan naratif penolakan terhadap elit kerajaan serta memainkan sentimen agama dan kaum, khususnya di kawasan majoriti Melayu.
Jelasnya, perpecahan undi atau kelemahan mobilisasi dilihat memberi kesan negatif kepada calon kerajaan selain pembangkang memiliki momentum dalam kalangan pengundi muda dan luar bandar selain berpengalaman menggerakkan jentera akar umbi melalui jaringan masjid serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam.
“Banyak Pusat Daerah Mengundi (PDM)
menunjukkan perbezaan kecil antara BN dengan PN, menandakan pertandingan PRK akan sangat sensitif terhadap jumlah keluar mengundi atau turn-out di samping taktik kempen mikro. Walaupun tidak dianggap pencabar utama, penyertaan PSM membuka ruang untuk undi protes, terutama dalam kalangan pengundi India yang tidak puas hati dengan prestasi PH atau BN.
“Kawasan seperti Kampung Rahmat dan Ayer Kuning yang mempunyai peratusan pengundi India signifikan boleh menyaksikan peralihan kecil ini berpotensi menjejaskan undi calon Kerajaan Perpaduan.
“Jika PSM meraih walau hanya lima hingga lapan undi di beberapa saluran, ini boleh menggugat peluang calon Kerajaan Perpaduan di kawasan marginal. Daripada lebih 31,000 pengundi di Ayer Kuning, sekitar 56 peratus adalah Melayu; Cina (21 peratus) dan India (14 peratus), selebihnya Orang Asli dan lain-lain,” katanya.
PRK DUN Ayer Kuning yang diadakan susulan kematian Ishsam akibat serangan jantung pada 22 Februari, menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Dr Mohamad Yusri Bakir menentang calon Perikatan Nasional (PN), Abd Muhaimin Malek dan calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) Bawani KS.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK itu pada 26 April ini, manakala pengundian awal akan diadakan pada 22 April.
Tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari, bermula selepas pengisytiharan calon hingga jam 11.59 malam 25 April ini.




