
SEREMBAN – Kerajaan akan menubuhkan hospital medan di Myanmar untuk meneruskan misi membantu mangsa gempa bumi baru-baru ini, kata Datuk Seri Mohamad Hasan.
Menteri Luar berkata, beliau membentangkan rancangan ini pada mesyuarat Kabinet pada minggu lalu, dan perkara ini dipersetujui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Sebanyak 84 hospital di Myanmar runtuh, dan mereka memerlukan bilik pembedahan bergerak yang diuruskan oleh pakar perubatan.
“Ini sedang diuruskan, dan kita akan meminta Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berbincang mengenai cara untuk membawa peralatan yang diperlukan ke sana.
“Myanmar juga memerlukan banyak bantuan perubatan serta sistem menapis air kerana sistem air paip di sana pecah, menyebabkan gangguan bekalan.
“Mereka juga memerlukan khemah sebagai penempatan sementara,” katanya kepada pemberita pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kementerian Luar dan Parlimen Rembau di Kampung Tanjung, Rantau di sini.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata, ASEAN juga akan membantu dengan menyediakan khemah dan tempat perlindungan sementara berikutan banyak rumah yang telah musnah.
Beliau berkata, hospital tersebut akan dilengkapi dengan lebih 30 bahagian merangkumi bilik bedah, X-Ray dan kemudahan wad dengan lebih 30 katil.
Katanya, bantuan itu akan dihantar pada bila-bila masa serta tetapi perlu dipastikan jumlah pakar serta kelengkapan perubatan mencukupi sebelum dihantar.
Tambah Mohamad, Malaysia juga tidak teragak-agak untuk membawa keluar pasukan perubatan, peralatan dan bantuan yang diselaraskan bersama rakan anggota ASEAN sekiranya keselamatan terancam ketika berada di Myanmar
“Sebab itu, saya telah maklumkan kepada pihak di sana, jika terdapat sebarang ancaman terhadap keselamatan anggota Malaysia atau mana-mana negara ASEAN, kita tidak akan teragak-agak untuk membawa pulang semua petugas… itu pendirian kita, kerana kita hadir untuk membantu, bukan untuk berdepan risiko,” katanya.
Pada 5 April lepas, Mohamad mengadakan lawatan sehari ke Myanmar untuk melaksanakan misi kemanusiaan susulan gempa bumi dahsyat yang melanda negara tersebut.
Pada 30 Mac lepas, Anwar berkata, kerajaan Malaysia menyalurkan bantuan kemanusiaan RM10 juta sebagai permulaan kepada Myanmar yang terkesan akibat tragedi bencana alam itu.
Lebih 50,000 orang menghadiri majlis berkenaan termasuk pemimpin negara, ketua jabatan dan perwakilan asing.





