KUANTAN – Seorang peniaga gagal memiliki kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Mazda selepas menjadi mangsa penipuan.
Mangsa turut menanggung kerugian RM119,072 selepas terpedaya dalam urusan pembelian kenderaan tidak wujud itu.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, lelaki berusia 38 tahun itu tertarik dengan iklan SUV Mazda CX-5 melalui laman sosial Facebook pada 6 Mac lalu.
Mangsa kemudian menghubungi suspek melalui WhatsApp.
“Selepas bersetuju, mangsa diminta membuat pembayaran kepada dua akaun bank berbeza berjumlah RM119,072.
“Selepas bayaran dibuat, suspek memadam akaun Facebook dan menyekat nombor WhatsApp mangsa.
“Mangsa menyedari ditipu dan membuat laporan polis. Kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan.





