
Tiada penggantungan lesen dikenakan ke atas Era FM ekoran kontroversi dicetuskan tiga penyampai stesen radio itu, baru-baru ini.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menerusi kenyataan bagaimanapun memaklumkan, Era FM dikenakan kompaun RM250,000.
MCMC menjelaskan tindakan itu dibuat berhubung kesalahan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu kerana memuat naik kandungan jelik melampau.
“MCMC menerima rayuan daripada Maestra Broadcast Sdn Bhd selaku pengendali stesen radio Era FM berhubung notis niat penggantungan lesen yang dikeluarkan kepada syarikat tersebut pada 7 Mac lalu.
“Setelah meneliti hujah rayuan tersebut, keputusan dibuat untuk tidak menggantung lesen Maestra Broadcast Sdn Bhd.
“Dalam membuat keputusan itu, pertimbangan diberikan terhadap tindakan susulan yang dilaksanakan syarikat pemegang lesen, permohonan maaf oleh pihak terbabit, serta kesan penggantungan terhadap stesen radio Melody dan Mix FM yang beroperasi di bawah lesen sama,” katanya.
Stesen Era FM mengundang kontroversi ekoran tindakan tiga penyampai mereka – Nabil Ahmad, Azad Jasmin dan Radin Amir Affendy – terpalit dengan dakwaan menghina agama Hindu.
Aksi mereka itu tular selepas stesen radio berkenaan memuat naik klip video pendek ke akaun TikTok.
Ketiga-tiga penyampai segmen 3 Pagi Era itu segera memohon maaf atas tindakan tersebut.







