
TAWAU – Polis berjaya menahan seorang lelaki dipercayai ‘runner’ dadah dan merampas seberat 2,101.50 gram syabu dianggarkan bernilai RM120,000 dalam satu serbuan di tepi jalan berhampiran Ladang Sawit di Jalan Air Panas Tiku, Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, suspek warga asing berumur 54 tahun berkenaan diberkas sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, kira-kira pukul 2.30 petang selepas dikesan dalam keadaan mencurigakan.
“Semasa serbuan, suspek dipercayai sedang menunggu seseorang dan pemeriksaan lanjut pada beg hitam dibawa suspek menemukan lebih dua kilogram dadah jenis syabu dipercayai dibawa masuk dari Kota Kinabalu ke Tawau.
“Siasatan mendapati pergerakan suspek ke Tawau hanya menggunakan pengangkutan sewa (bas dan Maxim),” katanya dalam sidang media di IPD Tawau, pada Selasa.

Menurut Jasmin, semakan rekod jenayah mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod lampau dan ujian saringan air kencing negatif dadah.
Suspek kini direman sehingga Khamis untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.





