Majlis Ulama Indonesia keluar fatwa haram golongan kaya guna bahan api bersubsidi

MAJLIS Ulama Indonesia (MUI) telah mengeluarkan fatwa untuk mengharamkan golongan kaya dan berkemampuan daripada menggunakan bahan api bersubsidi termasuk minyak petrol, Pertalite dan gas petroleum cecair (LPG) dalam tong tiga kilogram (kg).

Fatwa itu selari dengan usaha kerajaan dalam menangani ketirisan dan hanya diberikan kepada golongan yang memerlukan serta meliputi keadilan sosial untuk masyarakat.

Setiausaha Jawatankuasa Fatwa MUI, Miftahul Huda, menegaskan bahawa golongan kaya tidak sewajarnya menggunakan bahan api bersubsidi yang dikhaskan untuk golongan yang kurang berkemampuan dan perniagaan kecil.

“Pemerintah telah memperuntukkan bahan api bersubsidi ini secara eksklusif untuk golongan kurang berkemampuan.

“Golongan kaya yang menggunakan bahan api bersubsidi ini ibarat mengambil hak yang bukan milik mereka. Dalam Islam, tindakan ini dianggap zalim,” katanya.

Mengulas lanjut, Miftahul berkata, adalah berdosa besar di sisi agama sekiranya subsidi itu digunakan oleh golongan kaya kerana sama seperti mengambil hak golongan miskin.

Beliau merujuk petikan ayat 90 Surah An-Nahl: ‘Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, berbuat kebajikan, dan memberikan bantuan kepada kerabat. Dia (juga) melarang perbuatan keji, kemungkaran, dan permusuhan. Dia memberi pelajaran kepadamu agar kamu selalu ingat.’

Petikan ayat itu menggambarkan asas moral dan agama terhadap inisiatif pemerintah dalam mengemas kini sistem subsidi terdahulu.

Pemerintah Indonesia terus komited memastikan golongan sasaran menerima hak yang sepatutnya tanpa ditindas golongan kaya walaupun menghadapi pelbagai cabaran dalam meneruskan pelaksanaannya.

Terdahulu, Kementerian Sumber Tenaga dan Mineral memperkenalkan peraturan yang melarang peruncit kecil menjual LPG tong 3kg.

Namun, dasar itu ditarik balik dalam beberapa hari akibat kekurangan bekalan dan barisan panjang di pusat pengedar, sekali gus membuktikan kesan daripada ketirisan subsidi amat ketara.

Pemerintah memberi subsidi kira-kira 70 peratus daripada harga LPG tong 3kg iaitu membelanjakan sekitar 87 trilion rupiah (RM23.8 bilion) pada 2024 untuk menyediakan gas memasak kepada 40 juta orang.

Namun, hampir 30 peratus daripada gas bersubsidi itu dijual kepada pengguna tidak layak, termasuk golongan kaya dan perniagaan besar.

Menurut Menteri Sumber Tenaga dan Mineral, Bahlil Lahadalia, ketirisan itu menyebabkan kerugian kira-kira 26 trilion rupiah (RM7.02 bilion) setiap tahun kepada negara.

“Presiden Prabowo (Subianto) telah mengarahkan semua anggota Kabinet supaya memastikan setiap sen dana pemerintah sampai kepada penerima yang disasarkan,” katanya.

Menerusi permasalahan itu, pemerintah mengambil keputusan memperbaiki sistem pengagihan bahan api bersubsidi seperti pemberian lesen kepada 375,000 peruncit yang dibenarkan menjual produk bersubsidi secara sah.

Pemerintah juga melaksanakan sistem pemantauan digital bagi mengawal harga peringkat pengeluaran hingga ke pengedar dan peruncit.

Tetapi, Bahlil mengakui bahawa teramat sukar melaksanakan kawalan harga secara menyeluruh terutama pada peringkat akhir pengedaran.

Sebagai contoh, walaupun harga maksimum LPG 3kg bersubsidi sepatutnya 19,000 rupiah (RM5.19) tetapi selalu dijual pada harga sekitar 30,000 rupiah (RM8.20) berikutan kelemahan dalam mekanisme kawalan.

Selain itu, pemerintah juga telah mula menguatkuasakan semula peruncit sebagai subdepoh rasmi Pertamina di seluruh negara yang bertujuan untuk memastikan pengagihan bahan api terkawal.

Pemerintah daerah juga memainkan peranan penting dalam menangani isu itu seperti pentadbiran Jawa Tengah baru-baru ini mengeluarkan surat pekeliling yang melarang penjawat awam menggunakan LPG tong 3kg.

Fatwa yang dikeluarkan oleh MUI memberikan dimensi baru dalam usaha penerintah Indonesia dalam menangani ketirisan subsidi.

Dari aspek moral dan agama, fatwa itu diharap dapat meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat, terutama golongan mampu tetapi masih menggunakan bahan api bersubsidi.

Related Posts

Lebih 150 orang awam maut akibat operasi tentera AS di Yaman

WASHINGTON – Operasi ketenteraan Amerika Syarikat (AS) mengorbankan 153 orang awam dan mencederakan 243 yang lain sepanjang 2025, menurut seorang pegawai AS, yang memetik penilaian Pentagon. Jumlah itu meningkat ketara…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Lebih 100,000 hektar hutan Indonesia terbakar, risiko jerebu rentas sempadan

JAKARTA – Lebih 107,000 hektar kawasan hutan dan tanah di seluruh Indonesia terjejas akibat kebakaran setakat Isnin, dengan kerajaan meningkatkan usaha bagi mengelakkan jerebu rentas sempadan menjejaskan negara jiran. Menteri…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Cukup berkompromi, kini masa pacu reformasi – AMK

Cukup berkompromi, kini masa pacu reformasi – AMK

Pemandu, penumpang rentung kemalangan kereta, lori tangki

Pemandu, penumpang rentung kemalangan kereta, lori tangki

Prestasi luar jangka KDNK 6.0 peratus bukti reformasi ekonomi berkesan

Prestasi luar jangka KDNK 6.0 peratus bukti reformasi ekonomi berkesan

Teliti bantuan khas, skim sokongan guru luar bandar dan pulau

  • By Fatin
  • August 14, 2026
Teliti bantuan khas, skim sokongan guru luar bandar dan pulau

300 pelajar Pahang ke luar negara terima RM1,000

300 pelajar Pahang ke luar negara terima RM1,000

RCI Tabung Haji: Segerakan pendakwaan jika bukti cukup – Haniff

RCI Tabung Haji: Segerakan pendakwaan jika bukti cukup – Haniff