Lima pelanggaran utama Israel sepanjang gencatan senjata

GAZA – Ketika perjanjian gencatan senjata dan pertukaran tahanan antara Hamas dan Israel memasuki hari ke-23, beberapa pelanggaran oleh Tel Aviv menimbulkan keraguan terhadap perjanjian tersebut.

Pelanggaran Israel termasuk serangan ketenteraan, tembakan, serangan udara, peningkatan pemantauan, sekatan bantuan kemanusiaan dan pencabulan hak tahanan Palestin.

Memetik laporan Agensi Anadolu, lima pelanggaran utama Israel yang mengancam kestabilan gencatan senjata dan perjanjian pertukaran tahanan.

Menurut sumber yang enggan didedahkan identitinya, Israel telah melakukan 269 pelanggaran terhadap protokol kemanusiaan di bawah perjanjian itu.

Pelanggaran ketenteraan

“Kenderaan tentera Israel telah melintasi garis penarikan yang dipersetujui di sepanjang Koridor Philadelphi di selatan Rafah,” kata sumber itu.

Pesawat tempur dan dron pengawasan Israel terbang di ruang udara Gaza, walaupun terdapat tempoh larangan terbang yang telah ditetapkan dalam perjanjian.

Tentera Israel juga melakukan 29 pencerobohan, kebanyakannya di kawasan sempadan Rafah manakala sembilan serangan meriam dan serangan langsung turut dilaporkan, menyasarkan kawasan kediaman dan kemudahan awam.

Tahanan Palestin

Antara pelanggaran paling ketara ialah kelewatan selama enam jam dalam pembebasan tahanan bagi kumpulan ketiga tanpa sebab yang jelas, selain beberapa kes serangan fizikal terhadap tahanan.

Beberapa tahanan telah dipindahkan ke Gaza tanpa persetujuan atau koordinasi awal, satu amalan yang telah berulang kali dilakukan, menurut sumber itu.

Pelanggaran lain termasuk kelewatan dalam menyediakan senarai 400 tahanan Palestin yang dijadualkan untuk dibebaskan.

Sekatan terhadap bantuan kemanusiaan

Antara pelanggaran utama yang dikesan, pihak berkuasa Israel mengehadkan kemasukan trak bahan api kepada kurang daripada 25 buah sehari, walaupun perjanjian membenarkan sehingga 50 buah. Import bahan api juga disekat, manakala bekalan untuk pasukan pertahanan awam dan pihak berkuasa tempatan ditahan.

Daripada 200,000 khemah yang dipersetujui, hanya 53,147 telah dihantar ke Gaza, dan tiada tempat perlindungan pasang siap dibenarkan masuk.

Sumber itu turut menambah bahawa Israel mengenakan sekatan terhadap bantuan kemanusiaan Turkiye dengan melarang trak memasuki Gaza kecuali label yang memaparkan bendera Turkiye dibuang terlebih dahulu.

Sekatan tambahan

Israel mengekalkan penutupan Jalan Al-Rashid melebihi tarikh akhir yang dipersetujui, sekali gus menghalang operasi loji janakuasa Gaza serta menyekat kemasukan peralatan penyelenggaraan.

Sekatan lain termasuk larangan terhadap kemasukan ternakan dan makanan haiwan.

Israel juga menghalang pemindahan tunai ke bank dan enggan menggantikan wang kertas yang telah lusuh.

Kenyataan Israel mengenai pemindahan penduduk Gaza

Tokoh politik Israel terus mengeluarkan kenyataan yang menyokong pemindahan penduduk Gaza, mencerminkan kurangnya komitmen terhadap gencatan senjata.

Kerajaan Israel juga menangguhkan pelaksanaan fasa kedua perjanjian dengan mengenakan syarat yang tidak realistik.

“Walaupun terdapat tekanan antarabangsa ke atas Israel untuk mematuhi komitmennya, situasi semasa menunjukkan ia sedang mengenakan syarat baharu,” tambah sumber itu.

Perjanjian gencatan senjata tiga fasa telah dikuatkuasakan di Gaza sejak 19 Januari, menghentikan perang genosid Israel yang telah mengorbankan lebih daripada 48,200 nyawa dan menyebabkan wilayah itu musnah.

Dalam fasa pertama gencatan senjata yang berjalan sehingga awal Mac, 33 tebusan Israel akan dibebaskan sebagai pertukaran bagi sejumlah tahanan Palestin. Pertukaran tahanan kali keenam antara Israel dan Hamas dijadualkan berlangsung minggu ini.

Pada November lalu, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) telah mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, dan bekas Menteri Pertahanannya, Yoav Gallant, atas jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.

Israel juga berdepan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung perang di wilayah itu.

Related Posts

Anwar seru diplomasi, elak ketegangan berterusan di Asia Barat

NEW DELHI – Malaysia menyeru semua pihak yang terbabit dalam konflik di Asia Barat supaya menghentikan peningkatan ketegangan dan kembali menggunakan saluran diplomasi bagi mencari penyelesaian, kata Perdana Menteri, Datuk…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Anwar, Putin bincang penerbangan terus, bebas visa Malaysia-Rusia

NEW DELHI – Hubungan Malaysia-Rusia diperkukuh dengan beberapa kerjasama bagi merancakkan sektor pelancongan, perdagangan dan pelaburan antara Malaysia dan Rusia. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata demikian setelah pertemuan…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Kampung Siaga 221 perkasa kesiapsiagaan komuniti hadapi bencana

Kampung Siaga 221 perkasa kesiapsiagaan komuniti hadapi bencana

Semikonduktor lonjak kerjasama industri Malaysia-India

Semikonduktor lonjak kerjasama industri Malaysia-India

Malaysia perluas pasaran Afrika menerusi kerjasama Ethiopia

Malaysia perluas pasaran Afrika menerusi kerjasama Ethiopia

Anwar seru diplomasi, elak ketegangan berterusan di Asia Barat

Anwar seru diplomasi, elak ketegangan berterusan di Asia Barat

Jangan sekadar berkokok, kalau berani tarik sokongan

Jangan sekadar berkokok, kalau berani tarik sokongan

Tak dijemput PAU, itu hak dia – Adam Adli

Tak dijemput PAU, itu hak dia – Adam Adli