
KUALA PERLIS – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya menggagalkan cubaan penyeludupan diesel selepas menemukan sebuah vesel nelayan asing yang ditinggalkan tanpa pemilik berhampiran Jeti Nelayan Kampung Seberang Ramai di sini, awal pagi kelmarin.
Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Hashim Mat Zain berkata, bot ronda pihaknya yang sedang menjalankan Operasi Aman (OP AMAN) dan Operasi Tiris (OP TIRIS) menerima maklumat risikan sebelum mengesan sebuah bot fiber dalam keadaan mencurigakan.
“Hasil pemeriksaan mendapati bot tersebut ditinggalkan dalam keadaan mencurigakan, dipercayai setelah pemiliknya melarikan diri ke daratan sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa.
“Pemeriksaan lanjut ke atas bot berkenaan mendapati ia telah diubah suai dengan ruangan khas yang dipercayai digunakan untuk menyimpan minyak diesel,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Menurutnya, dua paip hos yang masih mempunyai kesan minyak diesel turut ditemui di dalam bot itu, dipercayai digunakan bagi aktiviti keluar masuk bahan api tersebut.
“Anggaran keseluruhan nilai rampasan berjumlah lebih RM70,000 dan kesemua barang kes telah dibawa ke Jeti Operasi Zon Maritim Kuala Perlis untuk tindakan lanjut,” ujarnya.

Kes akan disiasat di bawah Seksyen 8(a) Akta Perikanan 1985 kerana mengendalikan vesel penangkapan ikan tanpa lesen sah serta Peraturan 18 Peraturan-Peraturan Perikanan (Kelautan) yang melarang vesel membawa penumpang atau kargo.
Jelasnya lagi, Maritim Malaysia menyeru orang ramai agar menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan atau jenayah maritim bagi memastikan keselamatan perairan negara terus terpelihara.







