KANGAR – Seorang pekerja pembersihan mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas dua pertuduhan bersekongkol dengan sindiket penipuan dalam talian yang menyebabkan kerugian sebanyak RM23,000.
Kes ini merupakan yang pertama di Perlis didakwa mengikut Seksyen 424C (2) Kanun Keseksaan (KK), yang memperuntukkan hukuman penjara minimum tiga tahun dan maksimum 10 tahun, atau denda antara RM10,000 hingga RM150,000, atau kedua-duanya sekali.
Tertuduh, Nor Faraliana Che Zakiar, 28, membuat pengakuan bersalah di hadapan Majistret Nurshahida Abdul Rahim.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memindahkan RM20,000 daripada akaun seorang wanita di sebuah bank di Kangar tanpa kuasa yang sah pada 18 Disember 2024, sekitar 9.24 malam.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa mengeluarkan RM3,000 daripada akaun wanita yang sama di sebuah lagi bank pada hari yang sama, antara 9.40 hingga 9.41 malam, juga tanpa kuasa yang sah.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Tengku Ruqayyah Tengku Shahrom, manakala tertuduh diwakili peguam Azira Aziz dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.
Dalam prosiding, Tengku Ruqayyah memohon jaminan sebanyak RM20,000, dengan alasan kes penipuan dalam talian semakin berleluasa dan diklasifikasikan sebagai kesalahan berat selepas pindaan undang-undang di Parlimen.
Bagaimanapun, Azira memohon jumlah jaminan dikurangkan, dengan mengambil kira faktor bahawa tertuduh bekerja sebagai pekerja pembersihan dengan pendapatan RM650 sebulan, masih bujang dan menanggung kedua-dua ibu bapanya.
Mahkamah akhirnya menetapkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh 18 Februari untuk sebutan semula kes serta jatuh hukum.
Seksyen 424C(2) KK untuk peruntukan dan penalti bagi seseorang yang terlibat dalam mana-mana transaksi menggunakan mana-mana instrumen pembayaran orang lain atau mana-mana akaun orang lain di institusi kewangan.
Pindaan akta ini diluluskan Parlimen sebagai salah satu usaha kerajaan mengekang penipuan dalam talian yang semakin menjadi-jadi selain melindungi rakyat daripada terus menjadi mangsa penipuan sindiket.




