
KUNAK – Sebanyak lebih 2,000 pendaftaran diterima Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kunak bagi bantuan khas Program Sentuhan Kasih Rakyat 2025 bernilai RM300 sebulan selama setahun.
Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Kunak, Hussin Mohd Rais berkata, agihan bantuan Kerajaan Negeri Sabah melalui Sekretariat Sabah Maju Jaya (SMJ) itu disalurkan Ketua Isi Rumah (KIR) Miskin dan Miskin Tegar yang tercicir dari sistem e-Kasih.
“Di peringkat UPPM, kita agresif untuk mengesan serta menggalakkan mereka yang miskin dan miskin tegar mendaftar bantuan ini sejak Isnin lepas selepas kita tularkan di media sosial.
“Dalam pada itu, beberapa perkara membabitkan permohonan juga saya rujuk terus Sekretariat SMJ agar dapat memudahkan rakyat Kunak.
“Inilah pendekatan UPPM, kita bantu mereka mendaftar termasuk orang muda KIR agar mereka tidak tercicir memohon dan mendapatkan insentif disediakan Kerajaan Sabah,” katanya ketika dihubungi wartawan The Malaysia Press.
Menurut Hussin, walaupun pendaftaran telah ditutup pada Khamis, pihaknya masih membantu mendaftar dan menyerahkan sepenuhnya kepada Sekretariat SMJ untuk tindakan lanjut.
Katanya, bantuan ini difahamkan akan disalurkan dalam masa terdekat kepada mereka yang layak.
“Ini menunjukkan keprihatinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor yang prihatin terhadap rakyat negeri ini.
“Semoga bakal penerima ini memanfaatkan sepenuhnya bantuan kerajaan negeri berkenaan yang sudah tentu sangat membantu golongan miskin dan miskin tegar,” ujarnya.
Insentif Program Sentuhan Kasih Rakyat iaitu pemberian bantuan sebanyak RM300 sebulan selama setahun itu diperuntukkan Kerajaan Sabah di bawah Program Pembasmian Kemiskinan.
Perkara itu diumumkan Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun semasa pembentangan Belanjawan 2025 pada tahun lepas sebagai usaha membantu golongan miskin dan miskin tegar di negeri ini.





