
WALAUPUN tidak diangkat secara rasmi sebagai watak penting dalam gencatan senjata Israel-Palestin, ketegasan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam membela nasib rakyat Palestin tidak dapat dinafikan lagi.
Beliau tanpa mempedulikan siapa sekutu di sebalik negara haram Israel, lantang menyuarakan pendirian Malaysia, membawa suara rakyat Palestin yang terseksa ditindas tanpa belas kasihan oleh rejim Israel.
Lawatan beliau ke pentas antarabangsa bukan sahaja demi meraih pelaburan bermakna buat Malaysia namun boleh juga dikatakan sebagai serampang dua mata kerana isu-isu penindasan dan kebajikan rakyat Palestin sudah pasti akan menjadi salah satu topik utama perbincangan bersama negara yang dilawati.
Buktinya pada 17 Oktober 2023, Anwar secara terbuka memaklumkan hubungan baik Malaysia dengan sayap politik pejuang Hamas sekaligus menjadi titik permulaan kepada tumpuan seluruh dunia kepada kedudukan Malaysia dalam tragedi berkenaan.
Selain daripada meneruskan usaha menarik pelaburan ke Malaysia, pertemuan Anwar bersama pemimpin dunia di hadapan media antarabangsa menjadi platform Malaysia mengulangi kemestian menoktahkan penderitaan rakyat Palestin.
Bermula dengan kenyataan Perdana Menteri semasa pertemuan dengan Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed Bin Salman bin Abdulaziz Al-Saud (22 Oktober 2023), Presiden Turki, Recep Tayyib Erdogan (23 Oktober 2023) dan Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi (23 Oktober 2023).
Ia diikuti dengan ucapan membara Anwar di Himpunan Malaysia Bersama Palestin (25 Oktober 2023) yang mendapat perhatian komuniti antarabangsa lantaran kritikan terbuka beliau kepada hipokrasi yang ditonjolkan negara-negara barat dalam menangani kezaliman zionis.
Semangat memperjuangkan Palestin tidak pernah padam daripada diri Perdana Menteri, dalam setiap pertemuan bersama pemimpin negara-negara asing malah ia dapat dilihat dalam kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan sepanjang tahun 2023 selepas pertemuan dengan Perdana Menteri Belanda, Mark Rutte (1 November), Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida (5 November) dan Naib Presiden China, Han Zheng (9 November).
Pastinya yang paling mencuri tumpuan apabila Perdana Menteri menyatakan pendirian Malaysia bersama rakyat Palestin dan mengkritik sikap berat sebelah negara-negara barat dalam persidangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di hadapan Presiden Amerika Syarikat Joe Biden pada 17 November tahun sama.
“Kami diminta untuk mengutuk serangan Ukraine, tetapi sebahagian (negara) kekal membisu terhadap kekejaman yang menimpa Palestin. (Insiden) Ini tidak menyentuh rasa keadilan dan belas kasihan mereka.
“Alangkah baiknya jika kita tetap teguh dalam mempertahankan keadilan, demi rakyat Palestin yang hilang nyawa… hentikan kekejaman ini. Hentikan pembunuhan wanita dan kanak-kanak sekarang,” katanya dalam persidangan APEC di New York.
Seterusnya, Anwar pada 6 Mac 2024 di sesi pemukiman Sidang Kemuncak ASEAN-Australia telah menggesa supaya gencatan senjata kekal dilaksanakan serta-merta di Gaza.
Anwar mengingatkan pemimpin ASEAN dan Australia bahawa semua negara anggota ASEAN dan Australia telah mengundi menyokong resolusi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Disember 2023, yang menuntut gencatan senjata kemanusiaan.
Seterusnya pada 11 Mac 2024, dalam sidang akhbar bersama Canselor Jerman, Olaf Scholz di Berlin, Anwar lantang mengkritik negara Barat yang tidak bertindak terhadap kekejaman Israel di Gaza tetapi terus-terusan mengecam Hamas.
“Pendirian dasar luar negeri kami konsisten. Kami menentang penjajahan, aparteid, pembersihan etnik atau rampasan hak mana-mana negara, termasuk Ukraine dan Palestin.
“Kita tidak boleh memadamkan rampasan yang berlaku sejak 40 tahun lalu, yang telah membangkitkan tindak balas dan kemarahan rakyat tertindas.
“Kita tidak boleh mencari penyelesaian dengan bersikap berat sebelah dengan hanya lihat kepada satu insiden semata-mata dan memadamkan kezaliman yang berlaku sejak bertahun-tahun. Solusinya bukan sekadar pembebasan tahanan… tetapi adakah kita berhenti setakat itu?
“Bagaimana dengan penempatan haram dan sikap penceroboh haram ini? Bagaimana pula dengan nasib mereka yang dirampas hak, maruah dan tanah milik mereka? Adakah ini tidak penting? Di mana tercampaknya kemanusiaa? Mengapa wujud hipokrasi ini?” katanya.
Susulan itu, keberanian Anwar dalam mempersoalkan sikap berat sebelah Barat terhadap Palestin turut mendapat penghormatan daripada beberapa pemimpin agama dunia, di mana Mufti Besar Australia, Syaikh Abdul Quddoos menyifatkan ia sebagai satu keberanian yang belum dilakukan oleh mana-mana pemimpin negara.
“Saya juga menghormati Perdana Menteri yang menjawab kepada Jerman apabila media bertanya beliau mengenai serangan 7 Oktober dan beliau bertanya, bagaimana dengan peristiwa Nakbah 1948?
“Itu keberanian. Tiada pemimpin atau pemerintah bertanya mengenainya dalam tempoh lapan bulan lalu,” katanya ketika berucap pada Majlis Ulama Asia 2024.
Tidak cukup dengan itu, pada 4 Ogos, Anwar sekali lagi menarik perhatian dunia apabila berhasrat untuk membawa rakyat Palestin yang cedera untuk rawatan perubatan di Malaysia malah kerajaan juga menyediakan peruntukan dana untuk warga Palestin yang tercedera.
Hasilnya misi bawa pulang rakyat Palestin berjaya, pada 16 Ogos lalu, media melaporkan seramai 41 rakyat Palestin yang cedera akibat serangan Israel di Gaza, dengan diiringi 86 orang waris selamat tiba di Pangkalan Tentera Udara (PTU) Subang menaiki dua pesawat A-400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Niat baik Anwar untuk berkongsi rasa dan menghulurkan pertolongan buat 41 warga Palestin yang tercedera, disalah erti malah dirinya juga turut dicerca atas keprihatinan yang dizahirkan kepada mereka sehingga ada yang meminta Anwar untuk menjadi Perdana Menteri Palestin berikutan perhatian yang diberikan terhadap usaha menyediakan rawatan kepada rakyat Palestin yang cedera di negara ini.
“Kezaliman Israel menembak, bom, hancurkan rumah, bunuh bayi (dan) wanita, malah baru-baru ini lelaki dipenjara, ada yang diperkosa, kemudian kita bawa balik, itu pun dicerca, ada orang kata Anwar tak payah jadi Perdana Menteri Malaysia, pergi jadi Perdana Menteri Palestin kalau nak tolong sangat,” kata Anwar ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Program MADANI Rakyat 2024 Zon Selatan.
Namun begitu, kritikan dan tohmahan tidak pernah menghentikan semangat seorang Anwar Ibrahim dalam mempertahankan rakyat Palestin, beliau sekali lagi tampil bersuara semasa perjumpaan bersama Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Anthony Blinken ada hari kedua Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang Kemuncak Berkaitan di Vientiane, Laos, Oktober lalu, Anwar turut menggesa Blinken menggunakan pengaruh negara AS bagi memastikan israel mematuhi usul gencatan senjata di Palestin.
Pada November lalu, Perdana Menteri sekali lagi mencuri tumpuan di persada Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2024 dengan menyuarakan keprihatinan mendalam terhadap kekejaman menimpa rakyat Palestin di Gaza malah kehadiran Anwar di Lima, Peru, bukan sekadar memperkukuh hubungan dagang dan ekonomi Malaysia di rantau Asia Pasifik.
Dalam satu sesi intervensi di Pemukiman Pemimpin Ekonomi APEC, Anwar dengan tegas menyatakan isu Palestin tidak boleh diabaikan di sebalik agenda ekonomi mendominasi, beliau mengkritik sikap sesetengah pihak memilih menutup mata terhadap penderitaan rakyat Palestin, tindakan jelas bertentangan dengan semangat kemanusiaan sejagat.
Ketegasan Anwar menyuarakan isu Palestin bukan sesuatu yang asing, sejak memegang tampuk kepimpinan negara, beliau konsisten memperjuangkan hak asasi rakyat Palestin, mengutuk kekejaman rejim Israel dan menyeru masyarakat antarabangsa bertindak lebih proaktif mencari penyelesaian adil dan berkekalan.
Pada 4 November, Malaysia juga tampil lebih berani apabila turut serta dalam menyediakan draf resolusi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang antara lain mencadangkan agar Israel disingkir sebagai anggota pertubuhan itu sekiranya berlaku pelanggaran undang-undang, hukum dan keputusan dalam isu membabitkan Palestin.
“Pada 31 Oktober lalu, Malaysia menyertai Kumpulan Teras (Core Group) bagi penyediaan satu draf resolusi Perhimpunan Agung PBB memohon Pendapat Nasihat (Advisory Opinion) Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengenai obligasi Israel dalam membenarkan aktiviti dan kehadiran PBB,” katanya.
Tambahan pula, dalam kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tegas memperjuangkan hak rakyat Palestin di Sidang Kemuncak Luar Biasa Negara Arab dan Islam di Riyadh, Arab Saudi pada 11 November memberi harapan baru kepada dunia Islam dalam isu membabitkan Palestin.
Anwar menyeru masyarakat dunia untuk membina kesepakatan bagi menggantung atau menyingkirkan Israel daripada keanggotaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) atas tindakan Israel yang melampaui batas kewarasan dan kemanusiaan dengan melakukan genosid terhadap rakyat Palestin.
Beliau turut memberi amaran bahawa jika dunia gagal bertindak, keganasan itu boleh merebak dan membahayakan seluruh kawasan kerana jejak kekejaman Israel telah pun merebak ke Lubnan, Yemen, Syria, Iraq dan Iran.
Memasuki tahun 2025, hasil usaha keras semula negara yang terlibat termasuk Malaysia, gencatan senjata bagi mengakhiri konflik selama lebih kurang 470 hari penindasan terhadap rakyat Palestin sejak 7 Oktober 2023.
Kini tumpuan Malaysia lebih terarah untuk membangunkan semula negara Palestin dan mengiktirafnya sebagai sebuah negara yang berdaulat dan bebas dari penindasan dan serangan kejam rejim Israel.




