Siapakah dalang sembunyi Titah Adendum Najib?

SETELAH Mahkamah Rayuan Putrajaya mengesahkan kewujudan Titah Adendum Datuk Seri Najib Razak, kini muncul persoalan siapakah dalang yang menyembunyikan titah berkenaan.

Pemerhati politik tanah air, Mohd Sayuti Omar berkata, tumpuan kini beralih arah untuk mengetahui bagaimana dan mengapa Titah Adendum oleh Yang Di Pertuan Agong ke-16 Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang memberi pengampunan untuk Najib menjalani hukuman penjara di rumah tidak diperolehi oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada 2 Februari tahun lepas.

“Penjelasan yang dibuat oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berhubung kemisterian mengenai keputusan mesyuarat pengampunan terhadap Najib yang dijadikan polemik politik sebelum ini jelas bagaikan sudah bersuluh atau seperti bulan purnama penuh menerangi kegelapan malam.

“Sebelum ini pelbagai tuduhan dan tohmahan berkaitan keputusan mesyuarat pengampunan terhadap Najib itu menyebabkan Saifuddin seakan enggan atau berhati-hati untuk mendedahkan perkara sebenarnya kerana tertakluk dengan larangan tertentu atau belum tiba masanya.

“Hari ini sempena pendengaran rayuan Najib, masa beliau bercakap tiba, menerusi dalam sidang media khasnya beliau telah menjelaskan dan menerangkan apa yang berlaku berdasarkan kronologi fakta dan bukti tanpa menyembunyikan waima satu titik atau koma pun,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Sayuti berkata, penjelasan Saifuddin ini membuktikan ada dalang yang telah menyembunyikan Titah Adendum tersebut.

Tegasnya, pihak KDN khususnya Jabatan Penjara tentunya akan mengambil maklum dan tindakan berdasarkan arahan yang diterima.

“Saifuddin menjelaskan kronologi hal itu di mana mesyuarat pengampunan telah bersidang pada 29 Januari 2024 yang dipengerusikan sendiri oleh Yang di-Pertuan Agong Al Sultan Abdullah, manakala pada 2 Februari 2024 minit mesyuarat itu diberikan kepada KDN oleh Jabatan Hal Ehwal Undang Undang Jabatan Perdana Menteri bersama surat perintah.

“Dalam surat perintah itu jelas Saifuddin mengandungi dua item, pengampunan kepada Najib di mana pengurangan tempoh penjara dan juga denda.

“Saifuddin jelaskan, di dalam perintah itu Agong dengan kuasa yang ada kepadanya memerintah Najib dibebaskan pada tarikh pembebasan awal pada 23 Ogos 2028 dan denda dikurangkan kepada RM50 juta, sekiranya denda tidak dibayar dalam tempoh ditetapkan maka penjara ditambah setahun di mana tarikh pembebasan Najib 23 Ogos 2029.

“Surat perintah itu ditandatangani sendiri oleh Yang di-Pertuan Agong dan Menteri Wilayah, Dr Zaliha Mustafa sebagai saksi,” katanya.

Terdahulu hari ini, Mahkamah Rayuan membenarkan Najib memulakan prosiding semakan kehakiman bagi suatu perintah untuk memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum pada Januari tahun lalu.

Titah Adendum yang ‘keciciran’ itu dikatakan diperkenan Al-Sultan Abdullah yang membolehkan bekas perdana menteri itu menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah, bersabit kesalahan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Melalui penghakiman majoriti 2-1 yang dibacakan Hakim Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril, menyatakan bahawa mahkamah tidak boleh mengabaikan fakta dan bukti yang dikemukakan oleh perayu (Najib) dalam kes tersebut.

Menurut Mohd Sayuti, perkara paling
memeranjatkan apabila Saifuddin mendedahkan di dalam surat perintah itu tidak pun menyebut soal tahanan rumah terhadap Najib.

“Justeru pihak penjara dalam amanah melaksanakan tanggungjawab mereka dan dalam hal ini tidak timbul pihak penjara tidak patuh kepada perintah, jauh sekali cuba menyembunyikan sesuatu tentang pengampunan.

“Pihak kerajaan melaksanakan apa yang diperintah seperti mana tertera dalam minit mesyuarat pengampunan yang tidak boleh didedah sepenuhnya dan surat perintah.

“Jadi siapakah dalang yang sebenar yang menyembunyikan Titah Adendum itu?” katanya.

Justeru, Mohd Sayuti menyifatkan Saifuddin telah menjalankan tanggungjawab beliau dengan sebaiknya dan orang ramai tidak perlu lagi mempertikaikannya dalam hal berkaitan pengampunan kepada Najib ini.

“Penjelasan Saifuddin itu sangat jelas, sangat terang, sangat telus dan sangat bertanggungjawab. Kepada mereka yang mahu mendengar dan melihatnya serta rasional akan memahami dan tiada dakwa-dakwi lagi.

“Kecualilah mereka yang sengaja mahu menjadikan perkara itu sebagai isu dan modal politik tetap membuat naratif yang mengelirukan dan sengaja membodohkan diri sendiri,” katanya.

Related Posts

Hak 40 peratus Sabah: Komitmen PMX beri keyakinan baharu kepada Sabah – Joachim

KOTA KINABALU – Komitmen berterusan Kerajaan Persekutuan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap pembangunan Sabah terus mendapat penghargaan apabila pelbagai inisiatif dan projek strategik dilaksanakan bagi…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Tuntutan 40 peratus hak Sabah: Saya tidak mahu dilihat melengah-lengahkan – Anwar

PENAMPANG – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak mahu dilihat sengaja melengah-lengahkan penyelesaian tuntutan 40 peratus hasil bersih Persekutuan kepada Sabah. Tegasnya, Kerajaan Persekutuan memberi jaminan untuk…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Hak 40 peratus Sabah: Komitmen PMX beri keyakinan baharu kepada Sabah – Joachim

Hak 40 peratus Sabah: Komitmen PMX beri keyakinan baharu kepada Sabah – Joachim

Jungle Food Lab tarikan utama International Week 2026

Jungle Food Lab tarikan utama International Week 2026

Tuntutan 40 peratus hak Sabah: Saya tidak mahu dilihat melengah-lengahkan – Anwar

Tuntutan 40 peratus hak Sabah: Saya tidak mahu dilihat melengah-lengahkan – Anwar

Gangguan bekalan elektrik, Loji Rawatan Air Utara ditutup sementara

Gangguan bekalan elektrik, Loji Rawatan Air Utara ditutup sementara

Malaysia boleh jadi Kota Baca dalam 20 tahun lagi

Malaysia boleh jadi Kota Baca dalam 20 tahun lagi

Penjimatan kerajaan disalur semula kepada rakyat – Anwar

Penjimatan kerajaan disalur semula kepada rakyat – Anwar