
PUTRAJAYA – Penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan teknologi Internet Kebendaan (IoT) telah mula diadaptasi bagi membantu Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mendapatkan data menerusi model ramalan cuaca numerikal.
Ketua Pengarah MetMalaysia, Dr Mohd Hisham Mohd Anip memaklumkan,
banyak negara merancang untuk ke arah penggunaan teknologi tersebut namun ia masih perlu digabungkan dengan model bercorak fizik.
“Di pihak MetMalaysia, penggunaan AI dan teknologi Internet Kebendaan (IoT) telah mula diadaptasi dalam model ramalan cuaca numerikal bagi menghasilkan output.
“Ia bukan sahaja untuk kegunaan operasi harian di jabatan ini, tetapi juga sebagai input utama kepada model ramalan banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS),” katanya menerusi kenyataan kepada The Malaysia Press (TMP), hari ini.

Bagaimanapun, Mohd Hisham berkata,
ketepatan model AI dalam pengurusan bencana banjir di negara ini belum dapat dibuktikan sepenuhnya.
“Kos pengkomputeran untuk model AI mungkin lebih murah daripada model-model berasaskan fizik-dinamik yang sedia ada, namun ketepatan model AI sepenuhnya untuk rantau tropika masih belum terbukti keberkesanannya,” katanya.
Sementara itu, Bendahari Persatuan IoT Malaysia, Pathmanathan Muniandy berpandangan, terdapat keperluan buat kerajaan mengintegrasikan AI dan IoT, sebagai solusi pintar serta kos efektif dalam pengurusan bencana banjir di negara ini.
Katanya, sistem pengesanan banjir yang pintar mampu mengintegrasikan pelbagai sumber data, sekali gus akan mengatasi kelemahan sistem sedia ada dan meningkatkan keupayaan ramalan banjir hingga menjangkau aspek cuaca.

“Sebagai contoh, sistem ini dapat memproses data daripada sensor yang memantau paras air sungai, pola hujan, data pasang surut dari Pusat Hidrografi Kebangsaan dan imej satelit. Integrasi pintar ini akan memberi gambaran lebih komprehensif dan tepat mengenai risiko banjir.
“Model ini kini digunakan oleh Jabatan Meteorologi India (IMD) melalui kerjasama dengan Google Flood Forecasting Initiative, dan terbukti berkesan dalam meningkatkan ketepatan ramalan banjir di negara itu,” katanya.
Malah, Pathmanathan menjelaskan, teknologi berasaskan pelbagai sensor itu mampu memberi amaran seawal 48 jam sebelum bencana berlaku, sekali gus meningkatkan ketepatan pengesanan risiko banjir.
Berbanding sistem konvensional, katanya, teknologi tersebut wajar dimanfaatkan untuk mengelak keadaan bertambah buruk, di samping memberi notifikasi kepada penduduk agar mengambil langkah berjaga-jaga.
“Penggunaan AI membolehkan sistem itu dikemas kini secara berterusan, sekali gus mempertingkatkan ketepatan dan kualiti ramalan dari semasa ke semasa.
“Kita turut mencadangkan agar sistem itu dilaksanakan secara berperingkat, bermula di kawasan bandar berisiko tinggi sebelum diperluaskan ke luar bandar.
“Selain diintegrasikan dengan Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN), maklumat tambahan daripada imej satelit juga dapat membantu kerajaan tempatan merancang pembangunan bandar dengan lebih berkesan,” katanya.






