
PUTRAJAYA – Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) berharap Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) dan pihak berkuasa berkaitan memastikan penyelesaian yang adil berhubung isu tunggakan gaji melibatkan 252 pekerja warga Bangladesh dan Nepal dengan syarikat Kawaguchi Manufacturing Sdn. Bhd.
Presiden MTUC, Mohd Effendy Abdul Ghani berkata, antara perkara yang boleh dilakukan dengan melaksanakan pemantauan ketat terhadap cadangan pertukaran majikan khas dan pelaksanaan pembayaran gaji tertunggak secara berperingkat.
Menurutnya, hak pekerja mesti dilindungi, dan pembayaran gaji tertunggak perlu diselesaikan sepenuhnya sebelum akhir Disember ini, selain majikan harus bertanggungjawab memastikan kebajikan pekerja, termasuk penyediaan tempat tinggal dan makanan, sehingga isu tersebut selesai sepenuhnya.
“Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) memandang serius isu tunggakan gaji pekerja di Kawaguchi Manufacturing Sdn. Bhd, yang melibatkan 251 pekerja warganegara Bangladesh dan seorang pekerja warganegara Nepal. Dari Ogos 2024 hingga November 2024, pekerja-pekerja ini tidak menerima pembayaran gaji berjumlah keseluruhan RM2,181,773.95.
“Tindakan bantahan oleh pekerja di hadapan kilang pada 13 dan 14 Disember yang lepas menggambarkan kekecewaan terhadap kelewatan pembayaran gaji mereka,” katanya menerusi kenyataan kepada The Malaysia Press (TMP), hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Effendy memaklumkan, pihaknya menghargai usaha Pejabat Tenaga Kerja Pelabuhan Klang yang telah membuka lapan kertas siasatan untuk mendakwa majikan atas pelbagai kesalahan.
Antara kesalahan yang didakwa, menurut beliau, termasuklah kelewatan pembayaran gaji, pelanggaran Akta 446 berhubung perakuan penginapan, dan pembayaran gaji secara tunai.
“Kami turut mengalu-alukan tindakan
segera pihak berkuasa dalam memastikan keadilan ditegakkan. Bagaimanapun, MTUC amat prihatin terhadap cadangan pelaksanaan pertukaran majikan khas (PTM) bagi pekerja asing yang terjejas.
“Hanya 204 daripada 251 pekerja memiliki permit kerja yang sah. Perkara itu mencerminkan kelemahan pengurusan oleh pihak majikan,” katanya.
Terdahulu, Jabatan Tenaga Kerja (JTK) menerima maklumat secara tidak rasmi daripada pekerja syarikat itu berhubung isu melibatkan pembayaran gaji pekerja, bayaran kerja lebih masa dan juga penginapan yang tidak kondusif.
Jabatan tersebut menerusi kenyataan memaklumkan pihaknya telah membuka lapan kertas siasatan terhadap majikan dan penyedia penginapan atas kesalahan kelewatan membayar gaji, bayaran gaji secara tunai dan penginapan yang tidak mempunyai perakuan.
JTK menegaskan, tuntutan kes buruh dibuat pada hujung bulan November 2024 melibatkan 57 pekerja warganegara Bangladesh terhadap pihak syarikat berjumlah RM806,310.





