IPOH – Bagi tanda penghargaan, kerajaan negeri Perak telah memberi insentif sebanyak RM55,000 kepada 11 koperasi di negeri ini yang berjaya tersenarai dalam Profil 100 Koperasi Terbaik Malaysia pada tahun 2024.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, jumlah koperasi di negeri Perak yang tersenarai dalam Profil 100 Koperasi Terbaik Malaysia juga adalah kedua tertinggi selepas Wilayah Persekutuan.
Ujarnya, pemberian insentif itu bukan sahaja sebagai penghargaan, malah juga sebagai dorongan untuk lebih banyak koperasi mencapai kecemerlangan sama serta mampu menjadi contoh kepada koperasi-koperasi lain di seluruh negara.
Antara 11 koperasi negeri yang tersenarai termasuk Koperasi Guru-Guru Sekolah Malaysia Berhad, Koperasi Perbadanan Perak Berhad, Koperasi Anggota Kerajaan Ipoh Berhad serta Koperasi Perladangan Kawasan Bagan Datoh Perak Berhad.
“Sebanyak 11 koperasi berjaya mengekalkan kedudukan mereka sebagaimana tahun sebelumnya. Pencapaian ini jelas membuktikan bahawa gerakan koperasi di Perak terus cemerlang dan mampu menjadi contoh kepada koperasi-koperasi lain di seluruh negara.
“Kejayaan ini jelas membuktikan keupayaan koperasi untuk menyesuaikan diri dengan cabaran yang semakin rencam serta mampu memanfaatkan setiap peluang yang ada dengan sebaik mungkin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi Gerakan Koperasi Negeri Perak tahun 2024 di Royal Perak Golf Club, dekat sini, pada Isnin.
Hadir sama, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed serta Pengerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Leftenan Jeneral (B) Datuk Ahmad Norihan Jalal.
Dalam pada itu Saarani memberitahu, melalui Belanjawan Negeri Perak 2024, kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak RM1 juta untuk pembangunan usahawan dan koperasi.
Jelasnya, kerajaan negeri juga telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM620,000 untuk pembangunan dan kawal selia koperasi sepanjang tahun ini.
“Hasil peruntukan itu, lebih 700 gerakan koperasi di negeri Perak telah menerima manfaat dengan melibatkan lebih 35,000 anggota.
Saarani juga turut mengulangi saranan agar semua koperasi di negeri ini dapat beradaptasi dengan teknologi, mempelbagaikan sumber pendapatan, serta memenuhi keperluan semasa.

“Saya juga menyeru setiap koperasi untuk mengambil peluang dengan memperluaskan penglibatan dalam projek-projek berimpak tinggi yang sedang berlangsung di Perak.
“Antaranya AHTV di Tanjung Malim, LuMIC di Manjung, KIGIP di Kerian, SVTP di Khantan, Perak HIP di Lekir serta beberapa lagi,” ujarnya.
Tambah beliau, matlamatnya hanya satu supaya koperasi-koperasi ini dapat memperluaskan perniagaan serta menjana keuntungan dan secara tidak langsung ahli koperasi dapat menerima pelbagai manfaat daripada projek-projek mega ini.







