KUANTAN – Keindahan deretan pantai dan pelbagai makanan tradisional menarik sekitar bandar raya Kuantan menjadi pilihan tiga kelab skuter memilih untuk berkonvoi ke sini, bermula semalam.
Membabitkan 45 pemilik skuter pelbagai jenis, kelab dari Pahang; Rawang, Selangor dan Ipoh, Perak menikmati pelbagai juadah berasaskan ikan patin di restoran Jamantory, dekat Indera Mahkota.
Mereka dari Gabungan Rider X06 (Xcooterist PHG), M3R (Maxi Scooter Rawang) dan PXO (Perak XMAX Owner).
Selepas itu, kumpulan berkenaan mengunjungi lokasi tarikan ramai di tengah bandar raya Kuantan – Kuantan Street Art – yang memaparkan puluhan lukisan mural bertemakan sejarah negeri Pahang.
Tidak ketinggalan, ahli kelab skuter itu juga meluangkan masa mengunjungi menara ikonik tertinggi di Pantai Timur, menara Kuantan 188.
Ahli kelab itu teruja menyaksikan pemandangan 360 darjah bandar raya Kuantan di menara tinjau disediakan di situ.
Turut mencuri perhatian peserta konvoi adalah galeri khas berkaitan Pahlawan Pahang, Mat Kilau yang disediakan di ruang pameran Kuantan 188.
Mereka kemudiannya berehat di Kolam Rekreasi Pok Nik Tanjung Lumpur dan berkhemah di situ.
Kolam berkenaan bukan hanya menyediakan kemudahan untuk berkhemah, tapi turut menjadi tumpuan kaki pancing di sekitar Kuantan.
Kelab skuter berkenaan menamatkan kunjungan mereka di bandar raya Kuantan dengan menyusuri pesisir pantai dari Kempadang hingga ke Pantai Sepat, sebelum menghala ke Teluk Chempedak.
Konvoi kemudiannya berkumpul di Masjid Negeri Sultan Ahmad Shah, bagi menunaikan solat sebelum meneruskan aktiviti bebas di sekitar Kuantan.





