
PUTRAJAYA – Beberapa kenderaan penduduk yang diletak berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Presint 11, di sini, ditenggelami air akibat banjir kilat, hari ini.
Menerusi satu video yang dimuat naik di Facebook memaparkan kejadian banjir kilat itu yang dipercayai berlaku susulan hujan lebat di kawasan Putrajaya sejak petang tadi.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed ketika dihubungi berkata, kejadian banjir kilat itu dipercayai berlaku kira-kira jam 4.50 petang, susulan hujan lebat yang berterusan.
Bagaimanapun, menurutnya, situasi berada dalam keadaan terkawal dengan air banjir dilaporkan sudah surut sepenuhnya tidak lama selepas itu.
“Banjir telah pun surut sepenuhnya namun setakat ini pihak polis masih belum menerima laporan daripada pemilik kenderaan yang ditenggelami air itu.
“Sehubungan itu, kita menasihatkan penduduk di kawasan itu pastikan kenderaan diletakkan di kawasan selamat berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini,” katanya, hari ini.

Menerusi gambar yang tular di media sosial anggota bomba bersama jentera dan polis turut berada di kawasan banjir kilat itu bagi memantau keadaan selepas banjir surut.







