
Oleh: Hidayatun Nufus (Pelatih UPM)
BERITA gembira buat para ibu di Sarawak!
Ibu-ibu yang baru melahirkan anak kini boleh tersenyum lebar! Kerajaan Negeri Sarawak meneruskan komitmennya untuk menyokong kesejahteraan para ibu dengan menyediakan Bantuan Ibu Bersalin (BIB) bernilai RM450 kepada setiap ibu yang layak.
Segala maklumat yang dikongsikan adalah berdasarkan maklumat terkini yang tertera di portal rasmi kerajaan negeri.
Berikut dikongsikan cara membuat permohonan dan syarat kelayakan terkini.
Apakah Bantuan Ibu Bersalin (BIB)?
BIB merupakan inisiatif khas Kerajaan Negeri Sarawak yang bertujuan meringankan beban ibu-ibu selepas bersalin. Bantuan Ini dapat digunakan untuk:
- Pemakanan sihat sepanjang tempoh berpantang.
- Penjagaan kesihatan dan kebersihan diri.
- Keperluan lain yang penting untuk kesejahteraan ibu dan bayi.
Inisiatif ini tidak membezakan bangsa, agama, atau status sosio-ekonomi. Setiap ibu berstatus “K” (penduduk Sarawak) yang melahirkan anak layak menerima bantuan ini.
Bantuan ini mula diperkenalkan oleh YAB Ketua Menteri Sarawak pada pembentangan Belanjawan Negeri 2020 di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 4 November 2019. Bermula 1 Januari 2020, setiap ibu yang melahirkan anak berhak menerima bantuan tunai ini.
Teruskan menikmati manfaat ini! Pada tahun ini, YAB Premier Sarawak mengumumkan kesinambungan pelaksanaan BIB sebagai tanda penghargaan kepada para ibu yang menjadi tunjang keluarga dan masyarakat.
Syarat Kelayakan
Berikut syarat kelayakan untuk memohon bantuan ibu bersalin negeri Sarawak.
- Mestilah warganegara Malaysia
- Mestilah melahirkan bayi di dalam atau di luar Sarawak
- Ibu merupakan pemegang MyKAD Sarawak berstatus ‘K’ atau isteri kepada pemegang MyKAD Sarawak yang berstatus “K”; dan
- Permohonan boleh dibuat bermula pada usia kandungan 22 minggu sehingga tempoh 3 bulan selepas bersalin.
Borang yang lengkap diisi mestilah dihantar ke mana-mana Pejabat Kebajikan Masyarakat/ Pejabat Residen/ Pejabat Daerah/ Bahagian Pembangunan Awal Kanak-Kanak, KWKPK.
Walau bagaimanapun, sekiranya anda melakukan permohonan secara dalam talian, maka segala dokumen sokongan hanya perlu dilampirkan sekali ketika mengisi borang secara dalam talian.
Dokumen yang Diperlukan
Dokumen-dokumen yang wajib disertakan bersama borang permohonan adalah seperti di bawah:
- Salinan kad pengenalan/pasport ibu
- Salinan kad pengenalan/pasport pasangan atau penjaga
- Salinan sijil perkahwinan sekiranya pemohon bukan berstatus “K”.
- Salinan muka hadapan buku rekod kesihatan ibu mengandung
- Salinan penyata akaun bank terkini
- Salinan surat pengesahan doktor/nota discaj/sijil lahir bayi atau surat pengesahan mengandung 22 minggu dan ke atas daripada pegawai perubatan
Nota: Semua salinan dokumen perlu disahkan oleh Pegawai Kerajaan Persekutuan atau Negeri (Kumpulan A Gred 41 dan ke atas) atau Ketua Kaum atau Ketua Masyarakat (dikecualikan bagi permohonan secara dalam talian).
Cara Mohon BIB Sarawak
a) Permohonan Secara Online
- Untuk memohon secara online, sila ke pautan iSarawakCare, hantar dokumen baharu dan ikuti arahan selanjutnya.
- Setelah permohonan selesai dan dokumen lengkap dihantar, semakan daripada pihak KPWK akan dilakukan antara 7 hingga 14 hari waktu bekerja.
- Kemudian, proses pembayaran juga akan mengambil masa anggaran 7 hingga 14 hari waktu bekerja.
- Pemohon akan menerima notifikasi pembayaran melalui emel.
b) Permohonan Secara Manual
Borang boleh didapati di :
- Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian atau Daerah Negeri Sarawak.
- Pejabat Daerah Negeri Sarawak
- Pejabat Urus Setia BIB (Kuching sahaja) Negeri Sarawak
Penghantaran Borang Permohonan boleh dilakukan di mana-mana lokasi yang dinyatakan di atas.

Nota Penting
i) Permohonan WAJIB dilakukan bermula pada usia kandungan 22 minggu sehingga tempoh 3 bulan selepas bersalin,
ii) Permohonan bagi bantuan ini hanya sah bagi tempoh enam (6) bulan dari tarikh anda memohon. Jika tiada dokumen lengkap yang diterima dalam tempoh tersebut, maka permohonan akan ditolak scara automatik;
iv) Borang permohonan berserta dokumen sokongan yang lengkap boleh dihantar di mana-mana Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian/Daerah, Pejabat Daerah atau Pejabat Urus Setia BIB (Kuching sahaja), Negeri Sarawak.
v) Permohonan yang tidak lengkap dari segi dokumen tidak akan diproses.
Semakan Status Bantuan
Pemohon boleh melakukan semakan status Bantuan Ibu Bersalin menerusi platform berikut:
(1) WhatsApp: +6014-6881398 (mesej sahaja)
(2) iSarawakCare (bagi permohonan online)
Untuk pertanyaan lain, sila hubungi Urus Setia Bantuan Ibu Bersalin (BIB) melalui e-mel: bib@sarawak.gov.my
Untuk maklumat lebih lanjut, sila layari laman web iSarawakCare.






